Tuesday, October 6, 2009

Biar PBB menentukan saya sebagai presiden - Taib


Caption:

1.PENGHARGAAN...Taib sedang menerima cenderamata daripada Jabu sambil disaksikan (dari kiri) Wan Junaidi, Dr Rundi, Awang Tengah, Bolhasan Di, Abdul Wahab Aziz, Abang Johari, Mohd Asfia dan Uggah ketika berlangsungnya majlis.

2.RASMI...Taib sambil dibantu oleh Timbalan Residen Betong, Haji Pathi Haji Kerni (baju biru) sedang menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Ramah Tamah Aidilfitri sambil disaksikan oleh (dari kiri) Mohd Asfia, Jabu, Awang Tengah dan Uggah ketika berlangsungnya majlis itu.

BETONG, Isnin (5 okt) – Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud menyerahkan keputusan kepada pihak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi menentukan masa depan beliau selaku presiden untuk parti tulang belakang Kerajaan Negeri itu selepas ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB bertempat di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.

“Saya juga pernah hendak menarik diri (sebagai Presiden PBB) namun mereka (barisan pemimpin PBB) mahu saya terus kekal...maka saya terus kekallah (sebagai presiden),” katanya selepas menyatakan akan betapa pentingnya perubahan dalam parti mengikut arus pembangunan negeri pada masa sekarang.

Terdahulu Timbalan Presiden II PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mengumumkan bahawa PBB secara sebulat suara mahu Pehin Sri Taib terus kekal sebagai presiden (Yang Dipertua) parti berkenaan.

Beliau ketika berucap pada majlis berkenaan telah mengemukakan usul bahawa Pehin Sri Taib harus kekal tanpa bertanding untuk jawatan presiden parti itu pada Mesyuarat Agong PBB pada masa akan datang.

“Kami (PBB) juga mengusulkan bahawa beliau (Pehin Sri) kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menyokong penuh Dasar Politik Pembangunan yang telah diperkenalkan oleh beliau selama ini,” menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini Jabu juga turut menyatakan usul menyokong penuh perlaksanaan projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) di wilayah tengah Sarawak sekarang.

“Untuk memastikan Sarawak terus membangun di masa akan datang kami, PBB, mahu Pehin Sri Taib untuk terus kekal sebagai presiden dan seterusnya meneraju negeri ini sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden I, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Douglas Ugah Embas, Setiausaha Agong, Dr Stephen Rundi, para ahli Majlis Tertinggi PBB, ketua cawangan, para menteri dan menteri muda serta wakil rakyat di sini.

Pehin Sri Taib telah merasmikan mesyuarat perwakilan yang melibatkan 11 buah cawangan PBB antaranya ialah PBB Lingga, Beting Maro, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka dan Krian.

Beliau kemudiannya berangkat ke Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Betong untuk menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Betong setelah selesai menyelesaikan mesyuarat perwakilan pada jam 12 tengahari.
sumber : sriamannews.blogspot.com

No comments: