Monday, September 28, 2009

Terserah kebijaksanaan PM

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) berpendapat, terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk memastikan MIC dapat menerima penyertaan Makkal Sakhti dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) sebagai anggota baru BN.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebijaksanaan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN amat perlu kerana mengikut peraturan, semua parti komponen perlu bersetuju sebelum menerima keanggotaan baru.

''Saya tidak fikir MIC secara mudah dapat menerima kemasukan parti Makkal Sakhti dan Kimma kerana kedua-duanya turut mewakili kaum India.

''Oleh itu, segala-galanya terserah kepada Perdana Menteri bagaimana hendak memastikan penyertaan Makkal Sakhti dan Kimma diterima di dalam BN,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kolum Awang Selamat hari ini yang mencadangkan Makkal Sakhti dan Kimma menjadi anggota baru BN.

Langkah terbabit dilihat bagi memulihkan kembali sokongan kaum India kepada BN yang merosot teruk selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lepas.

Ahmad Zahid berharap dasar keterbukaan yang ditunjukkan oleh Najib dengan melancarkan parti Makkal Sakhti pada 10 Oktober ini tidak diketepikan begitu sahaja oleh MIC.

''Bagi saya, apa yang ditunjukkan Najib merupakan satu pilihan terbaru yang perlu difikirkan oleh semua kepimpinan tertinggi BN termasuk MIC,'' jelasnya.

Bagi Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, beliau melihat cadangan itu sebagai satu lagi strategi memantapkan BN untuk jangka panjang.

''Apa salahnya BN menerima kumpulan-kumpulan seperti ini kerana mereka bukannya menggunakan saluran pembangkang dan mungkin ada pandangan daripada mereka yang kita boleh kongsi bersama,'' katanya.

Tambahnya, penerimaan parti baru di dalam komponen BN akan memberikan kelebihan kepada kaum India.

''Rintihan dan masalah kaum India akan dapat didengari kerana banyak saluran boleh mereka gunakan,'' ujarnya.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas secara dasarnya bersetuju dengan idea itu, namun bimbang lebih banyak permohonan sama akan diterima pada masa akan datang.

''Persoalannya mampukah BN memberikan peluang kepada parti-parti baru ini mendapat kerusi pada pilihan raya. Saya takut ia akan memecahbelahkan BN untuk jangka masa panjang.

''Mungkin sudah tiba masanya BN ditubuhkan sebagai satu parti yang mewakili semua kaum di Malaysia sejajar dengan idea pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar satu ketika dahulu semasa menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP),'' katanya.

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam, demi slogan 1 Malaysia, PM tidak perlu takut kepada sesiapa untuk menrima Makkal Sakti, IPF dan Kimma.

Samy Velu kata, kaum India tidak benci pada dia, tapi benci BN, tapi mengapa mesti wujud Makkal Sakti dan IPF, kalau bukan kerana benci dengan kesombongan Samy, itu belum lagi P.Subramaniam membawa lebih 100 ribu kaum India keluar dari MIC, sesetengah pemimpin MIC masih wujud kasta dikalangan kaum India walau pun Malaysia tidak membenarkan kasta wujud.....