Thursday, September 3, 2009

Patuh pada undang-undang negara - PM

PUTRAJAYA 2 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pakatan pembangkang di Perak mematuhi undang-undang negara dengan tidak mengadakan perhimpunan haram.

Tegas Perdana Menteri, pihak polis mempunyai kuasa untuk menyuraikan ancaman sedemikian demi menjamin ketenteraman awam.

"Pihak berkuasa iaitu polis mempunyai kuasa untuk menentukan ketenteraman awam.

"Apa-apa pun kena patuh pada undang-undang negara," kata beliau kepada pemberita selepas mengumumkan pemenang pertandingan Lagu 1Malaysia di sini hari ini.

Pagi ini, tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada pembangkang dan empat orang awam ditahan kerana mengingkari arahan bersurai ketika polis berusaha menghalang sekumpulan ADUN pembangkang yang cuba mengadakan perhimpunan haram di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Polis semalam memperoleh perintah mahkamah melarang orang ramai berada dalam lingkungan 30 meter dari pagar bangunan tersebut.

Bagaimanapun, perintah larangan dan amaran polis itu tidak diendahkan apabila ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas dan 25 ADUN yang lain berjalan beramai-ramai dari ibu pejabat DAP Perak di Medan Istana menuju ke Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam pada itu mengulas insiden bantahan penduduk Seksyen 23, Shah Alam terhadap pembinaan kuil di situ termasuk membawa kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Najib berkata: "Polis dan pihak Peguam Negara akan menentukan sama ada apa yang dibuat itu salah dari segi undang-undang hasutan. Itu adalah penentuan."

Mengenai kejadian membakar Jalur Gemilang di Indonesia dalam beberapa siri bantahan terhadap isu tertentu melibatkan rakyat negara itu di Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia sebenarnya bukan kehendak pemerintah Indonesia.

Sebaliknya, kata beliau, ia dicetuskan oleh kumpulan tertentu di negara tersebut yang hanya ingin mengeruhkan hubungan Jakarta-Kuala Lumpur.

"Ini bukan yang dihasratkan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang memaklumkan beliau inginkan hubungan yang baik dan akrab antara kedua-dua negara.

"Secara peribadi Presiden SBY pun selalu menghubungi saya atas apa-apa perkembangan antara kedua-dua negara," kata beliau
Sumber : Utusan Malaysia

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam, apakah jenis DAP, PKR dan PAS ini manusia yang patuh pada undang-undang ?

Semua Polis, SPRM dan SPR dianggap alat BN, mereka lebih suka pakai undang-undang rimba kalau dapat berkuasa nanti, atau pun Ketua Polis Negara dia akan letak Ronnie Liu gengster......