Tuesday, August 25, 2009

SPRM tak terlibat

SHAH ALAM 24 Ogos – Tiada sebarang bukti mahupun fakta baru diperoleh hasil siasatan yang dijalankan oleh polis berhubung isi kandungan `surat misteri’ yang kononnya dapat membantu inkues siasatan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Malahan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas sampel 12 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor termasuk Timbalan Pengarahnya, Hishamuddin Hashim yang diambil sekali lagi pada Rabu lalu turut disahkan tidak sepadan dengan dua DNA yang tidak dikenali pada kot dan tali pinggang Beng Hock.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan menegaskan demikian di Mahkamah Koroner di sini semasa menjawab lima tohmahan yang dibangkitkan dalam surat misteri itu pada prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock yang masuk hari ke-13 hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, peguam pemerhati keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo menarik perhatian Koroner Azmil Muntapha Abas berhubung kewujudan surat misteri setebal lima muka surat bertarikh 5 Ogos lalu yang diterimanya daripada seseorang antara pukul 5 dan 6 petang, hari sebelumnya.

Rentetan pendedahan surat yang tiada tandatangan pengirimnya itu, Azmil memerintahkan supaya pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP), Ahmad Nazri Zainal menjalankan siasatan lanjut.

Menurut Hock Chuan, tiada sebarang keterangan yang dapat membuktikan atau menyokong tohmahan dalam surat itu bahawa Timbalan Pengarah SPRM Selangor kononnya telah memberikan arahan kepada para pegawainya yang terlibat dalam operasi siasatan supaya tidak melibatkannya dalam kes Beng Hock.

“Pihak polis telah merakam percakapan-percakapan yang relevan tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, tiada keterangan yang dapat membuktikan tohmahan yang dilemparkan itu,” katanya.

Begitu juga dengan tohmahan bahawa Timbalan Pengarah SPRM negeri itu kononnya telah mengarahkan pegawainya supaya mengelap kesan cap jari pada bahagian tingkap di tingkat 14, Plaza Masalam dan menggunakan teknik soal siasat tersendiri, turut gagal menunjukkan sebarang bukti.

Sehubungan itu, Hock Chuan meminta Azmil mempertimbangkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya lapan kesan cap jari pada bahagian tingkap di tingkat 14, namun tidak cukup jalur untuk membuat perbandingan dan bukannya tiada langsung kesan cap jari ditemui seperti didakwa dalam surat.

Mengenai dakwaan timbalan pengarah terbabit tidak mengetip kad perakam waktu pada pagi 16 Julai lalu, menurutnya, polis telah mendapatkan kad tersebut dan pegawai terbabit telah mengesahkan bahawa beliau memang tidak mengetipnya waktu keluar pada pagi tersebut.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM pengarang@utusan.com.my

No comments: