Monday, July 27, 2009

1,000 sertai UMNO, bukti PKR ditolak di Sabah

KUALA LUMPUR 26 Julai - Tindakan kira-kira 1,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah keluar parti untuk menyertai UMNO semalam membuktikan parti itu tidak mampu untuk bertapak di Sabah.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan semua bekas ahli PKR berkenaan ke dalam UMNO dan berharap mereka boleh menjadi ahli yang setia serta tidak mengecewakan parti.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku dalam MCA dan MIC baru-baru ini iaitu tindakan bekas Naib Presiden mereka, Datuk Dr. Chua Jui Meng dan Datuk S.S Subramaniam keluar parti untuk menyertai PKR terjadi kepada UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 1,000 ahli PKR dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah termasuk Exco Wanita PKR Pusat, Siti Sarina Che Ismail mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO.

Penyertaan beramai-ramai bekas ahli PKR ke UMNO itu diketuai oleh bekas ahli jawatankuasa perhubungan PKR negeri Sabah yang juga bekas Ketua PKR Bahagian Silam, Hassan Malempeng.

Mereka bersama-sama 23 orang bekas ketua cawangan PKR menyerahkan borang penyertaan UMNO masing-masing kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur.

Menurut Hassan, beliau dan rakan-rakannya meninggalkan PKR secara sukarela selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan PKR yang tidak jelas, sebaliknya mereka yakin terhadap perubahan kepimpinan baru UMNO.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa gagasan ''1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan''.

Ujar Ahmad, ahli-ahli UMNO mesti setia kepada perjuangan parti dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berjuang untuk membela nasib rakyat serta membangunkan negara ini.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu membuktikan bahawa rakyat telah sedar hanya BN mampu memperjuangkan nasib mereka.

"Keputusan ini menunjukkan mereka telah sedar bahawa selama ini perjuangan mereka adalah sia-sia.

"Mereka telah nampak bahawa hanya BN yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat di peringkat akar umbi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Salleh, pelbagai masalah yang ditimbulkan pembangkang terutama di Semenanjung telah menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang terlalu rapuh dan hanya inginkan kuasa.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan masih ramai yang berminat menyertai UMNO

Sumber : Utusan Malaysia

2 comments:

YANG GAMBI said...

Salam,

Tidak semua rakyat mudah lupa dengan dakyah PKR....

Zaidil Ripin said...

Ws...
saya setuju dengan pandangan sdr. PKR adalah parti berkepentingan INDIVIDU.