ALOR SETAR 28 Jun - UMNO masih berpeluang memikat hati rakyat termasuk orang Melayu jika sanggup bekerja keras untuk membersihkan imej dan memulihkan semula kepercayaan masyarakat terhadap parti itu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu tidak boleh meletakkan kesalahan atas orang lain dengan menjadikan alasan kaum lain tidak memberikan sokongan pada pilihan raya umum lalu sebagai punca kemerosotan prestasi.
Sebaliknya, kata beliau, parti itu perlu membuat bedah siasat mencari punca sebenar rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum itu telah memenangi 11 pilihan raya umum dan kemudian serius memperbaikinya.
"Tanggapan bahawa kaum lain tidak sokong UMNO atau BN adalah tidak tepat. Kalau ini dijadikan alasan maka tidak akan berjaya.
"UMNO harus pegang kepada perkara yang benar yang diketahui selepas membuat bedah siasat," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dr. Mahathir berkata, masalah utama yang melanda UMNO pada masa ini ialah imej rasuah yang terpalit pada pemimpinnya.
Justeru, katanya, parti itu perlu berusaha keras untuk membersihkan UMNO daripada gejala berkenaan dan perlu berani membuat keputusan untuk tidak meletakkan pemimpin yang memenangi jawatan kerana rasuah sebagai calon pilihan raya.
Katanya, peluang untuk UMNO dan BN merampas kembali negeri yang dimenangi parti lawan tidak mustahil dengan syarat amalan rasuah dibersihkan dari bawah walaupun sukar.
Menurut beliau, pada masa yang sama kerajaan ditunjangi UMNO perlu memulihkan krisis ekonomi supaya mendapat sokongan rakyat daripada pelbagai kaum yang akan percaya dengan kemampuan kerajaan untuk mentadbir negara.
No comments:
Post a Comment