Sunday, May 17, 2009

Pusat khidmat BN di setiap Parlimen

KUALA TERENGGANU 16 Mei - Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan pusat khidmat di setiap kawasan Parlimen bagi membolehkan masalah rakyat berbilang kaum diselesaikan bersama oleh parti-parti komponen.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan itu yang merupakan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bagi memperlihatkan kepada rakyat bahawa BN mampu melaksanakan tugas membantu rakyat berbilang kaum.

Katanya, ia perlu dilakukan supaya persepsi rakyat terhadap BN dapat diubah.

''Urusan yang berkaitan rakyat perlu diteliti oleh semua parti (komponen). Kita mahu tunjukkan bahawa urusan kerja membantu rakyat berbilang kaum dapat dilaksanakan oleh BN.

''Pendekatan ini adalah untuk menunjukkan bahawa mulai dari sekarang, urusan berkaitan masalah rakyat walaupun ia datang berkelompok, ia tidak diuruskan oleh parti-parti tertentu sahaja, tetapi tanggungjawab ini hendaklah diurus oleh semua parti," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan pemimpin BN Terengganu di sini hari ini.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada perubahan yang dibuat dalam parti agar terus diterima oleh rakyat terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Beliau berkata, bagi bahagian yang sudah mempunyai bilik gerakan BN, usaha itu akan dikekalkan.

Mengenai draf perubahan perlembagaan UMNO jelasnya, ia akan siap pada hujung bulan ini seterusnya akan diberikan kepada Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri untuk diteliti bagi mendapatkan input dan maklum balas.

Berhubung kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan semalam bahawa 60,000 jentera penerangan UMNO cawangan gagal berfungsi, jelasnya, beliau telah mengarahkan supaya mereka diberi latihan dan maklumat untuk menjalankan tugas masing-masing.

''Memang kita sedang tumpukan kepada jentera penerangan parti. Satu daripada fokus kita supaya kita dapat menyebarkan maklumat yang tepat, patahkan segala dakyah lawan yang kadang-kala bohong dan putar-belitkan fakta sebenar," ujarnya.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan jentera penerangan UMNO supaya mengatur program latihan di seluruh negara bagi melahirkan ramai penceramah dan pegawai penerangan yang berwibawa supaya memberi penjelasan tentang isu semasa supaya tiada pihak yang keliru.

No comments: