KUALA LUMPUR 4 Mei - UMNO masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Biro Politik UMNO yang bermesyuarat tengah hari ini juga tidak membincangkan perkara itu.
"Mesyuarat Biro Politik UMNO hari ini membincangkan banyak perkara dan Pilihan Raya Kecil DUN Penanti bukan salah satu daripadanya. Perkara itu belum diputuskan lagi,'' katanya.
Beliau ditemui selepas melakukan lawatan kerja pertama ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menerima taklimat daripada Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah DBP, Datuk Johan Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Muhyiddin diminta mengulas keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kosong setelah bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat mengosongkannya dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.
Muhyiddin turut ditanya kemungkinan satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan berikutan hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan untuk mengosongkan kerusi.
Menurutnya, tindakan pembangkang itu bukan sahaja menyalahgunakan demokrasi malah tidak berlaku adil kepada rakyat yang memilih mereka semasa pilihan raya umum tahun lalu.
"Yang berlaku sekarang ialah pembangkang menyalahgunakan demokrasi dan ADUN dari parti pembangkang tidak ambil sikap bertanggungjawab kepada rakyat.
"Pilihan raya kecil sepatutnya diadakan sekiranya wakil rakyat meninggal dunia tetapi wakil rakyat berkenaan masih hidup, tidak bankrap serta tidak menyalahi mana-mana undang-undang oleh itu tidak wajar untuk meletak jawatan,'' katanya.
Beliau bagaimanapun dimaklumkan bahawa Manoharan merupakan tahanan ISA dan salah satu sebab untuk meletakkan jawatan ialah kerana tidak dapat berkhidmat di kawasan itu.
Muhyiddin tegas menjawab: "Semasa bertanding DUN Kota Alam Shah itu memang dia dalam tahanan. Jadi mengapa sekarang hendak membangkitkan perkara itu?
"Ini bermakna jawatan sebagai ADUN Kota Alam tidak gugur dan selagi itu perlu berkhidmat kepada rakyat,'' katanya.
Mengenai Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang dikatakan dirisik oleh parti pembangkang agar melompat parti, Muhyiddin yakin pemimpin kanan MCA itu tidak akan berbuat demikian.
sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment