Sunday, March 22, 2009

PKR cuba perbodohkan rakyat di Batang Ai kata Masing




Caption:

1.BN BOLEH!...Masing (ketiga dari kiri) sedang mengangkat tangan calon BN iaitu Mussen (kiri beliau) sambil diapit oleh Fadillah (ketiga dari kanan), Hajah Fatimah dan Empiang ketika berlangsungnya majlis hari ini.

2.PILIHAN RAKYAT...Masing (hadapan dua dari kanan) sambil ditemani oleh Empiang (kanan sekali), Fadilah (baju biru) dan Mong (tiga dari kiri) sedang mengangkat bendera BN ketika berlangsungnya majlis hari ini.

LUBOK ANTU, Sabtu (21 Mac) – Parti KeAdilan Rakyat (PKR) sengaja menguji pemikiran penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai dengan meletakkan calon mereka untuk bertanding di pilihanraya kecil kawasan terbabit pada 7 April ini nanti.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Jemut Masing berkata tindakan parti pembangkang terbabit adalah bertujuan untuk menguji sama ada penduduk di situ dapat diperbodohkan oleh mereka pada pilihanraya kecil itu kelak.

“Tujuan mereka bertanding di sini (DUN Batang Ai) bukanlah kerana hendak mengambilalih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri yang kini diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN).

“Tujuan sebenarnya kehadiran mereka di sini ialah untuk menentukan sejauh mana pemilih berdaftar di DUN Batang Ai boleh diperbudak dan diperbodohkan oleh mereka pada pilihanraya kecil itu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Pemuda BN Pilihan Raya Kecil N.29 Batang Ai bertempat di Rumah Sandah, Sungai Ara, Lubok Antu hari ini.

Dengan mempertengahkan calon mereka pada pilihanraya kecil itu kelak, para penduduk kata Masing akan diperdaya oleh segala janji kosong atau palsu yang tidak mungkin akan ditunaikan oleh mereka selepas ini.

“Ketua mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan berkata bahawa pihak PKR akan mengubah nasib hidup penduduk di kawasan DUN Batang Ai sekiranya calon mereka menang bertanding pada pilihanraya kecil pada 7 April ini.

“Bagaimanapun kawasan pegangannya sendiri iaitu Permatang Pauh masih lagi mundur sehingga masa sekarang semenjak beliau (Anwar) menjadi wakil rakyat di situ selama 27 tahun,” katanya.

Justeru Masing berharap agar di kawasan Batang Ai terus memberikan sokongan terhadap calon BN iaitu Malcom Mussen Lamoh agar pembangunan di kawasan berkenaan dapat diteruskan dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Hajah Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Syukrie, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang dan Senator Dato Sri Empiang Jabu.

No comments: