Sumber : Utusan Borneo : 26 Februari 2009
KUCHING:Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata mendiang Datuk Dublin Unting adalah contoh terbaik kepada semua kerana beliau seorang pemimpin yang berdedikasi serta disenangi semua lapisan rakyat.
“Kehilangan mendiang amat menyedihkan buat kita, mendiang merupakan contoh terbaik kepada semua orang.
“Beliau seorang yang sentiasa bekerja keras, berdisiplin dan mampu memperoleh kekuatan di sekelilingnya terutama di kawasannya sendiri (kawasan Dewan Undangan Negeri) Batang Ai,” katanya ketika ditemui semasa memberi penghormatan terakhir kepada mendiang semalam.
Taib berkata selain cemerlang dalam melaksanakan tugasnya, mendiang sentiasa da-pat memenangi banyak soko-ngan serta mendapat ramai rakan sepanjang bertugas.
“Ini dapat dilihat ketika mendiang memimpin pasukan sukan (SUKMA) untuk beberapa tahun (2004, 2006 dan 2008) dan saya difahamkan semua peserta gembira dengan kepimpinannya,” tambah Taib.
Justeru, katanya kematian mendiang merupakan kehilangan besar kepada kerajaan dan rakyat Sarawak khasnya.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta isteri Datin Juma’ani Tuanku Bujang, menteri-menteri kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan.
Mendiang yang merupakan Menteri Muda Sukan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.25 pagi Selasa lepas di Pusat Pakar Perubatan Normah selepas menerima rawatan di pusat perubatan itu sejak sembilan bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai selama empat penggal itu koma selama sembilan bulan kerana diserang angin ahmar pada 22 Mei tahun lepas setelah menghadiri temuramah khas dengan stesen RTM.
Mendiang yang juga Menteri Muda Pertanian meninggalkan balu Datin Froline Moriah Demies Impoi serta tiga orang anak, Damain Unting,10, Dendra Faith Unting,7 dan Daylan Abit Unting,4.
Dublin yang mula bergiat aktif dalam politik pada 1991 turut memegang jawatan penting dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu selaku naib presiden parti berkenaan.
Mayat mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Anglican Batu Kitang hari ini selepas disembahyangkan di Gereja St. Thomas.
No comments:
Post a Comment