Saturday, November 8, 2008

Raja Petra bebas dari ISA



Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pengendali dan editor laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibebaskan serta-merta. Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membuat keputusan itu pada pukul 9.45 pagi ini. Selaras dengan keputusan tersebut, Hakim Syed Ahmad Helmy memerintahkan supaya Raja Petra yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak dibawa ke hadapan beliau sebelum pukul 4 petang ini untuk pelaksanaan perintah itu. Raja Petra yang sebelum ini ditahan di bawah ISA pada 12 September lalu berbadan agak gempal kelihatan kurus sedikit ketika tiba di mahkamah dengan diiringi lima warden pusat tahanan berkenaan pada pukul 3.05 petang.

Tepat pukul 3.20 petang, Hakim Syed Ahmad Helmy memulakan prosiding di mahkamah terbuka dengan memanggil Raja Petra. Beliau kemudian membenarkan tahanan ISA itu dibebaskan selaras dengan perintah yang dibuatnya pada sesi pagi. Terdahulu, dalam prosiding sesi pagi, Hakim Syed Ahmad Helmy membacakan penghakiman bertulis berhubung permohonan habeas corpus Raja Putra supaya dibebaskan daripada tahanan mengikut Seksyen 8 ISA dan mendapatkan pengisytiharan bahawa penahanannya tidak sah di sisi undang-undang.

Pada hemat Hakim Syed Ahmad Helmy, Raja Petra mesti dibebaskan setelah mahkamah mendapati bahawa alasan perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 8 ISA ke atas pemohon sebenarnya tidak mencakupi skop yang ditetapkan di bawah akta tersebut. Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri menyatakan Raja Petra perlu ditahan di bawah ISA dengan alasan berikut:

"Telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab dalam menyiarkan artikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersendakan dan menghina orang Islam, kesucian agama Islam dan peribadi Nabi Muhamad SAW yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini sekali gus boleh mewujudkan krisis keyakinan terhadap agama Islam serta mencetuskan persengketaan dan ketegangan agama antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

"Selain itu artikel tersebut berunsur fitnah dan palsu terhadap pemimpin negara bertujuan untuk menjejaskan keyakinan dan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang mana seterusnya boleh menggugat ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan Malaysia."

Bagaimanapun, selepas meneliti alasan menteri berkenaan, Hakim Syed Ahmad Helmy mendapati tiada sebarang asas bahawa Raja Petra menjadi satu ancaman kepada ketenteraman awam, baik dari segi politik, ekonomi mahupun pentadbiran negara.

Menurut hakim itu, dalam perintah penahanan yang dikeluarkan, menteri berkenaan mestilah memberikan alasan atau asas yang menyokong bahawa tindakan Raja Petra memang menimbulkan huru-hara dan ancaman kepada negara.

Hakim berkenaan turut menyentuh peruntukan di bawah Seksyen 8(b) ISA iaitu mahkamah mempunyai bidang kuasa melalui proses semakan kehakiman bagi tujuan menyemak keputusan menteri dalam melaksanakan kuasa di bawah ISA, sekiranya menteri melanggar mana-mana prosedur di bawah akta tersebut.

Mengenai hujah peguam bahawa penahanan Raja Petra berniat jahat pula, Hakim Syed Ahmad Helmy, bagaimanapun, berpendapat unsur mala fide bukannya satu intipati untuk menunjukkan ketidakpatuhan prosedur ketika mengeluarkan perintah tahanan.

Menurut Hakim Syed Ahmad Helmy, peruntukan di bawah Seksyen 8 ISA antaranya menetapkan seseorang boleh ditahan selama dua tahun mengikut arahan menteri. Seksyen tersebut, kata beliau, digubal mengikut lunas-lunas Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, menurut hakim itu, penggunaan Seksyen 8 dalam pengertian tersebut adalah sah dan ia selaras dengan Artikel 149.

Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan antaranya merujuk kepada kesalahan menyebar perasaan permusuhan antara kaum yang mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam.

Raja Petra diwakili peguam-peguamnya yang terdiri daripada Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun, Ashok Kandiah, J. Chandra, Sreekant Pillai dan H.K. Meoh. Menteri Dalam Negeri selaku responden diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohamad dan Mohd. Dusuki Mokhtar. Peguam Salim Bashir pula mewakili Majlis Peguam. Sementara itu, di luar mahkamah, Abdul Wahab ditanya sama ada kerajaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu. Beliau memberitahu, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan Peguam Negara sebelum mengambil langkah selanjutnya

No comments: