Tuesday, November 11, 2008

Peralihan Tetap Mengikut Perancangan: JUN


Rafidah Aziz bersalam dengan Shahrizat Abdul Jalil selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO di Kuala Lumpur, semalam.

Exco Pergerakan Wanita UMNO yang bermesyuarat selama lima jam hari ini memutuskan pelan peralihan kuasa antara Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikekalkan pada Jun 2009.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 27 Exco itu juga membuat ketetapan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi perpaduan dan pengukuhan sayap kanan UMNO itu.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, Rafidah mengucapkan terima kasih kepada 117 bahagian yang mencalonkannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita dan menyokong pelan peralihan kuasa yang ditetapkan.

Beliau berkata, kejayaan Shahrizat yang meraih 73 pencalonan bagi jawatan ketua pergerakan itu membuktikan akar umbi Wanita telah bersedia menerima Shahrizat menjadi ketua.

“Sekiranya mereka mencalonkan orang lain, bererti mereka bukan sahaja tidak menerima (pelan) peralihan (kuasa) malah turut tidak menerima Shahrizat.

“Saya telah mencalonkan Shahrizat untuk menggantikan tempat saya dan jika orang lain dicalonkan, saya tidak tahu hendak buat apa,’’ katanya.

Semalam, Shahrizat dalam satu kenyataan meminta Rafidah mempertimbangkan supaya pelan peralihan kuasa ketua dan naib ketua Pergerakan Wanita UMNO diselaraskan dari Jun kepada Mac 2009 selari dengan tarikh pemilihan parti itu.

Menurut Rafidah, jumlah pencalonan yang beliau dan Shahrizat terima daripada bahagian-bahagian Wanita UMNO sejak sebulan lalu adalah petanda positif bahawa akar umbi parti bersetuju dengan pelan peralihan, cuma mereka perlu bersabar sehingga Jun 2009.

Mengenai kedudukan Shahrizat yang akan mengambil alih sebagai Pemangku Ketua Wanita UMNO pada Jun ini, Rafidah memberitahu, biarlah Shahrizat dipanggil dengan nama apa sekalipun, hakikatnya beliau memang menjadi Ketua Wanita UMNO.

“Shahrizat bukan bekerja seorang diri tetapi mempunyai pasukan pekerja di ibu pejabat, pengerusi-pengerusi biro dan ketua-ketua wanita negeri.

“Saya sudah pesan pada Shahrizat, kalau tidak ada pertandingan, dia jadi pemangku pun tidak apa. Semasa memangku dia boleh membimbing sesiapa yang difikirkannya layak menjadi Naib Ketua Wanita,” jelasnya.

Ditanya mengenai Shahrizat yang dicalonkan oleh akar umbi untuk bertanding jawatan Ketua Wanita bagi menentangnya, Rafidah berkata: ”Kalau mereka hendak bertanding juga dengan riuh-rendah, mereka jangan berpura-pura hendak berjuang untuk parti dan memulihkan UMNO.”

Beliau menambah: “Jika mereka ikhlas, inilah masanya untuk memperjuangkan kaum Melayu, parti dan memulihkan UMNO.’’

Dalam pada itu, Rafidah berkata, jika ada pertandingan, sudah pasti akan berlaku perpecahan dalam Wanita UMNO.

Katanya, pernah berlaku pertandingan di peringkat jawatan presiden dalam UMNO, akibatnya wujud hubungan tidak baik sehingga ke peringkat akar umbi dan ia berlarutan selama bertahun-tahun.

Ditanya sama ada beliau sedih dengan perkembangan yang berlaku dalam Wanita UMNO sekarang, Rafidah berkata, beliau tahu waktu yang sesuai untuk beliau meninggalkan pergerakan itu.

“Saya berusia 65 tahun minggu lalu dan sedang berada di kemuncak kehidupan saya. Saya tidak fikir saya tiada pengganti dalam UMNO walaupun saya sedih untuk meninggalkan parti.

“Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah bersedia dari segi mental untuk tidak aktif dalam kegiatan Exco pada Jun depan,’’ katanya.

Menurut Rafidah, beliau tidak sekali-kali akan meninggalkan UMNO kerana parti itu telah sebati dengan dirinya.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu ialah pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau menduduki Majlis Tertinggi UMNO sejak terpilih pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1975, dan masih menyumbang sehingga ke era Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Datuk Kamilia Ibrahim yang mendapat 56 pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita bagi menentang Shahrizat tidak hadir pada mesyuarat Exco hari ini, menyebabkan mesyuarat tersebut tidak dapat membincangkan isu pertandingan di peringkat Naib Ketua Wanita.

Mengenai kedudukan Kamilia, Rafidah berkata, beliau dan Shahrizat akan menemuinya tidak lama lagi bagi membincangkan ketetapan mesyuarat Exco Wanita UMNO itu

No comments: