Tuesday, November 4, 2008

Ekonomi Negara Masih Kukuh.. Yakinlah :PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rakyat mesti yakin bahawa negara mampu berhadapan dengan cabaran krisis kewangan yang kini melanda Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.Perdana Menteri berkata, segenap lapisan rakyat termasuk kakitangan awam harus mempunyai keyakinan diri dalam memastikan ekonomi negara terus dipacu dengan baik di sebalik krisis berkenaan.‘‘Kita tidak perlu terbawa-bawa dengan rasa takut dan bimbang, kita mesti ada keyakinan untuk menempuh cabaran itu dan mesti lihat kepada diri kita secara objektif dalam membuat kesimpulan mengenai situasi pada waktu ini.‘‘Jika krisis tersebut membawa kesan buruk kepada wilayah-wilayah seperti Eropah, kita perlu bersyukur kepada tuhan bahawa sistem perbankan kita berada dalam keadaan yang kukuh,”

Perdana Menteri berkata, kebimbangan terhadap kesan krisis tersebut mungkin timbul kerana negara mengamalkan konsep ekonomi terbuka iaitu mengadakan hubungan dagang dengan pelbagai negara terutama AS dan Eropah. Bagaimanapun Abdullah menjelaskan, negara kini mempunyai modal dan kecairan mencukupi, kuasa membeli domestik yang kekal tinggi selain kestabilan mata wang ringgit. Justeru beliau mahu firma-firma perbankan menyediakan pinjaman yang wajar kepada projek-projek berdaya maju bagi memastikan pembangunan negara terus berjalan. Selain itu, Abdullah berkata, negara juga mempunyai sektor-sektor yang mencatatkan pertumbuhan seperti pelancongan, perbankan Islam dan insurans serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘‘Semua sektor yang mencatatkan pertumbuhan boleh dikembang dan dimajukan. Kita juga mahu galakkan kemasukan pelaburan ke negara ini, ini pun menjadi satu kebaikan kepada kita,” katanya. Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beberapa langkah kerajaan bagi menghadapi cabaran krisis kewangan yang berlaku sekarang akan diumumkan oleh Najib esok.‘‘Semua langkah itu diharap membawa kejayaan kepada kita dan sekurang-kurangnya mampu mempertahankan ekonomi negara daripada kesan buruk dengan menggalakkan pelaburan dalam sektor yang mempunyai pertumbuhan.‘‘Maka, apa yang perlu menjadi sikap kita pegawai kerajaan termasuk kami anggota pentadbiran, kita mesti meyakinkan sesiapa juga yang datang di negara ini, mereka tidak akan menghadapi kesusahan untuk melabur,” katanya.

No comments: