Wednesday, November 26, 2008

Politeknik di Betong : RMK 10

BETONG 25 Nov. - Kerajaan negeri mahu menjadikan bahagian Betong sebagai hab pendidikan baru bagi kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan masyarakat di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, untuk tujuan itu, kerajaan bercadang membina sebuah politeknik di Betong di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurutnya, Betong kini mempunyai sebuah sekolah teknikal dan Maktab Rendah Sains Mara yang baru siap dibina selain tujuh buah sekolah menengah kebangsaan bagi memenuhi keperluan pendidikan di sini.

''Kerajaan sentiasa berusaha membina lebih banyak sekolah dan kolej bagi menyediakan kemudahan pendidikan terbaik kepada rakyat di kawasan luar bandar.

''Ia membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan pembangunan penduduk di luar bandar yang memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran," katanya pada majlis Pertemuan Bersama Rakyat di Rumah Sang, Sungai Sibau, Padeh, dekat sini semalam.

Jabu berkata, usaha tersebut juga adalah sebagai langkah kerajaan memastikan penduduk tempatan dapat bersaing merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan di Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

Sementara itu, dalam pertemuan beliau dengan penduduk di Rumah Legam, Lubok Klampu di Ulu Paku, di sini, Jabu menggesa rakyat supaya berani menceburi bidang perniagaan sebagai usaha meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Katanya, penduduk boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menghasilkan produk-produk makanan tempatan atau warisan kraf tangan sebelum meluaskan pasaran.

Pada majlis yang sama, Jabu turut menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM153,000 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM113,000 diagihkan kepada 22 rumah panjang di Padeh manakala bakinya untuk 19 rumah panjang di Ulu Paku
Sumber : Utusan Malaysia

No comments: