Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata Sabtu bahawa ekonomi Asia Pasifik perlu meningkatkan kecairan dan pinjaman kepada para pengguna untuk merangsang perdagangan dan pelaburan.
“Para pemimpin APEC telah memutuskan bahawa rangsangan fiskal di dalam bentuk satu bajet pengembangan perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan dunia dari terjerumus ke dalam kemelesetan,” kata Najib kepada media Malaysia selepas berakhir hari pertama sidang kemuncak dua hari para pemimpin tersebut.
“Kita mesti memulihkan keyakinan di dalam ekonomi kita,” katanya.
Ini merupakan kali pertama para pemimpin APEC mengkhususkan keseluruhan hari pertama sidang kemuncak dua hari yang dihoskan oleh Presiden Peru Alan Garcia di Pusat Konvensyen Kementerian Pertahanan untuk membincangkan mengenai krisis ekonomi global.
Najib berkata, ekonomi APEC dan bukan APEC perlu menyepadukan tindakan masing-masing untuk mengekang ekonomi global dari terjerumus ke dalam kemelesetan.
“Mereka tidak boleh mengambil sikap sambil lewa, mereka mesti mengambil langkah pengembangan untuk menyelamatkan dunia.”
Katanya, setiap negara perlu melaksanakan tindakan rangsangan fiskal bagi menyelaraskan dan menetapkan jumlah suntikan yang diperlukan.
Pada masa ini, apa yang telah diputuskan ialah rancangan rangsangan fiskal perlu ditetapkan berasaskan keperluan global.
Antara negara yang telah mengambil inisiatif pakej rangsangan komprehensif ialah China yang melaksanakan satu pakej bernilai AS$750 bilion, tetapi kredit dari AS$600 bilion yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat sangat perlahan dilaksanakan.
Bagi institusi Bretton Woods seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, kata Najib mereka perlu memainkan peranan menyediakan kecairan melalui modal jangka pendek kepada negara tertentu yang berhadapan masalah imbangan pembayaran.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, agensi sedemikian perlu menetapkan jumlah suntikan yang diperlukan untuk merangsang aktiviti ekonomi di negara-negara yang bergelut dengan kemelesetan.
Dalam hubungan ini katanya, para pemimpin kini melihat keperluan satu arkitektur kewangan global yang baru atau Bretton Woods ll yang bermakna IMF dan Bank Dunia kini perlu mengubah diri masing-masing dengan mengambil kira dinamik ekonomi global.
Keseluruhan pemikiran IMF kini tidak boleh diterima lagi, katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas perbincangan hari pertama, para pemimpin Apec berkata mereka akan menyokong agensi kredit eksport, institusi kewangan antarabangsa dan bank swasta dan termasuk perusahaan kecil dan sederhana.
“Ini akan memastikan perdagangan dan pelaburan mengalir di rantau ini,” kata para pemimpin yang mewakili 21 buah ekonomi itu. — Bernama
No comments:
Post a Comment