Friday, October 24, 2008

Kakitangan kontrak diminta semak terma lantikan kerja

Kakitangan kontrak diminta semak terma lantikan kerja

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak diminta menyemak semula terma dan syarat pelantikan sebelum menyalahkan mana-mana pihak sekiranya perkhidmatan mereka ditamatkan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata, golongan kakitangan awam berkenaan perlu mempunyai persediaan sejak dari awal bahawa perkhidmatan mereka mungkin tidak diperlukan lagi bila-bila masa.

''Mereka tidak boleh andaikan bahawa kontrak kerja yang diperoleh itu membolehkan mereka berkhidmat dengan kerajaan untuk selama-lamanya sebaliknya perlu memahami ia hanya sah untuk tempoh tertentu sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman hari ini dilaporkan Bernama sebagai berkata, kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak mungkin ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan kerajaan.

Menurut Omar, golongan tersebut ialah kakitangan yang kontrak disambung dari setahun ke setahun, yang berkhidmat di semua jabatan dan kementerian di seluruh negara dan tidak menikmati kemudahan seperti yang diterima kakitangan awam tetap tetapi melakukan tugas yang sama.

Omar menambah, CUEPACS tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan kerana kerajaan masih mampu mengekalkan perkhidmatan golongan itu.

Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa kekangan kewangan menjadi salah satu punca kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak tidak disambung kontrak mereka.

''Bagaimanapun, kita harus faham bahawa golongan kakitangan awam berkenaan bekerja dengan pelbagai kementerian, jabatan, agensi, universiti dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

''Organisasi-organisasi yang berbeza mempunyai sebab tersendiri kenapa kontrak seseorang pekerja tidak disambung malah kakitangan awam tetap juga boleh diberhentikan kerja atas sebab-sebab tertentu,'' jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya akan membantu kakitangan awam yang terbabit untuk mendapatkan kerja baru melalui bantuan daripada Kementerian Sumber Manusia.

''Selain itu, kami akan bertanggungjawab dan membayar pampasan kepada kakitangan awam terlibat jika perkhidmatan mereka ditamatkan sebelum tempoh kontrak tamat,'' ujarnya

2 comments:

temuai said...

Mohon semua pegawai yang berkhidmat secara kontrak untuk menyemak semula terma lantikan kerja mereka dan membuat persiapan terlebih dahulu.

tajau singa raja said...

sebelum hujan sediakan payung, tapi kerajaan mungkin akan memberi pertimbangan terhadap nasib kakitangan kontrak ni