KUALA LUMPUR: Mesyuarat Biro
Politik Khas PKR yang berlangsung pada malam Ahad di Ibu Pejabat PKR difahamkan
menjadi pertemuan pemutus isu pengganti Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat 'berdegil' untuk melepaskan jawatan.
Permintaan Abdul Khalid yang
dikatakan hanya akan mengundur diri sekiranya digantikan Presiden PKR, Datuk
Seri Wan Azizah Wan Ismail kini hanya menimbulkan kemelut dalaman Pakatan
Rakyat (PR) terutama penolakan daripada PAS.
Menurut sumber dalaman PKR, Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menolak pencalonan Ahli
Dewan Undangan (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali kini terpaksa berfikir dua
kali untuk menamakan 'anak didiknya' sebagai MB Selangor demi menjernihkan
kemelut dalaman PR sendiri.
"Anwar sebelum ini telah
terpaksa menolak cadangan menamakan Azmin sebagai MB atas permintaan Khalid. Akan
tetapi apabila keadaan celaru begini,
Anwar memerlukan Azmin," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.Sumber
itu mengulas isu pertukaran Abdul Khalid dengan Wan Azizah yang dijangka
berlaku bulan ini.
PAS sebelum ini menyatakan
pendirian mahu Abdul Khalid kekal menerajui Selangor selain DAP dilihat
mengambil pendirian senyap dan memerhati sahaja. Bagaimanapun, isu ini
menimbulkan pergolakan di dalam PR selepas beberapa pemimpin PAS dan DAP
menyatakan pandangan masing-masing yang bersifat kontra dengan keputusan
pertukaran jawatan MB itu.
Ia juga dilihat semakin kronik
selepas mesej kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu
keluar PR tersebar.Jelas sumber itu lagi, Azmin yang baru pulang daripada umrah
sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dikatakan bakal menjadi calon alternatif MB
Selangor biarpun tanpa persetujuan Khalid.
"Pemilihan Azmin ini
dikatakan setelah mendapat 'lampu hijau' daripada DAP dan juga memenuhi
kehendak PAS untuk calon MB selain daripada wanita. Azmin juga menerima
sokongan majoriti Pengerusi - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang
telah disampaikan kepada Anwar.
"Antara negeri yang
dikatakan memberikan sokongan penuh kepada Azmin sebagai calon MB adalah
Pengerusi MPN Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu,
Kelantan dan Sarawak," ujarnya. Kata sumber itu, dalam mesyuarat MPP yang
lalu, keputusan memilih Wan Azizah dibuat tanpa proses undian setelah cadangan
mencalonkannya dicadangkan Anwar.
"Anwar sendiri tidak mahu
menerima cadangan nama lain termasuk cadangan daripada MPN Selangor yang
mencalonkan Pengerusinya, Mohamed Azmin Ali," katanya. Ujar sumber itu,
Azmin yang mendapat sokongan majoriti pimpinan MPP dalam mesyuarat tersebut
tidak dibenarkan untuk bersuara dan menyatakan sokongan.