Thursday, June 21, 2012

CABARAN NAJIB MENJELANG PRU13

Sumber : http://nobisha.blogspot.com/ 

"Bilakah pilihanraya umum ke-13?"

Itu soalan yang sering dikemukakan. Bukan saja kepada saya, tetapi kepada sesama satu sama lain.

Apabila semua tidak ada jawapan, maka ada yang mencebik muka dan berkata, "Kenapakah Dato' Seri Najib berteka-teki mengenai tarikh pilihanraya?"

Soalan itu bagus. Cuma, saya fikir tentulah lebih bagus lagi sekiranya orang yang sama bertanya, "Bilakah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri?"

Setakat yang saya tahu, pemimpin kerajaan di keempat-empat negeri tersebut belum membuat pengumuman tarikh PRU13. 

Apa yang saya dengar sebelum ini ialah ada di antara Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berkata mereka mungkin tidak akan mengadakan pilihanraya pada tarikh yang sama dengan Pusat.

Saya pernah menyebut dalam wawancara dengan Astro Awani dan menulis di Twitter bahawa saya ramalkan PRU13 akan diadakan pada suku tahun keempat 2012 (Q4 2012). 

Tatkala ramai orang bercakap mengenai kemungkinan ia diadakan pada hujung tahun 2011, Mac 2012 dan Jun 2012, saya tetap mempertahankan ia akan diadakan Q4 2012.

Apakah alasan saya itu?

Apabila Najib mengambilalih kepimpinan negara, tahap keyakinan rakyat kepada kerajaan (trust in government) adalah cukup rendah. Ketika itu pemimpin pembangkang mengasak kerajaan begitu teruk sekali. Tugas Najib yang paling besar ialah memulihkan keyakinan rakyat. Sementara Barisan Nasional terus menjadi simbol politik, Najib berusaha menyatukan seluruh rakyat melalui "1Malaysia" dan menentukan semua janji-janji dalam Bajet 2012 ditunaikan. Bukan setakat itu, Najib juga memperlihatkan keterbukaan kepada mereka yang menentangnya. 

Pindaan beberapa akta seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 menggembirakan golongan atas pagar, walaupun pada masa yang sama mengejutkan penyokong kerajaan. Tindakan tersebut adalah sebahagian proses transformasi politik; di samping transformasi ekonomi dan kerajaan yang dijanjikan Najib.

Walaupun inisiatif Najib tidak dapat mengubah pendirian penyokong tegar pembangkang, namun secara umumnya, keyakinan rakyat kepada kerajaan sekarang bertambah baik jika dibandingkan dengan Perdana Menteri sebelum beliau. Dari sudut ini, Najib boleh dikira berjaya.

Pembangkang bekerja keras untuk menghakis keyakinan rakyat kepada kepimpinan Najib. Walaupun Bersih 3.0 digambarkan sebagai satu gerakan NGO, hanya mereka yang naif saja akan percaya parti-parti pembangkang tidak terlibat untuk meraih manfaat daripada protes tersebut.

Walaupun kerajaan dilihat melakukan perubahan yang menggembirakan sebahagian besar rakyat, namun parti-parti komponen Barisan Nasional, termasuklah UMNO, dilihat tidak banyak berubah.

Cabaran yang dihadapi oleh Najib sekarang bukanlah kecil. Malah, cabaran paling besar Najib dalam PRU13 nanti bukanlah untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh mempercayai kerajaan Barisan Nasional dan beliau sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya, cabaran Najib ialah untuk meyakinkan pengundi bahawa calon-calon Barisan Nasional yang ditampilkan nanti bersedia dan mampu melaksanakan transformasi yang telah dimulakan.

Selagi rakyat belum melihat perubahan yang ketara dalam Barisan Nasional (khususnya UMNO), maka selama itulah "sekarang" bukan masa yang sesuai untuk parti itu meminta mandat dari rakyat. 

Adakah ini bermaksud saya mengatakan UMNO tidak berubah? Tidak. Memang ada perubahan, tetapi tidak banyak. Secara peribadi, saya menjangkakan Najib akan mengugurkan lebih 50% calon Parlimen dan DUN dalam PRU13 akan datang. Perubahan ini penting bagi membolehkan Najib menampilkan calon-calon baru yang lebih dinamik dan pada masa yang sama membuang kayu buruk dalam parti tersebut.

Tentunya "warlords" dalam parti itu akan membantah perubahan tersebut. Namun, apakah pilihan yang Najib ada?

Apabila media menyebut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai calon untuk menjadi Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional menang di negeri itu, ada suara-suara yang tidak setuju dengan cadangan itu. Adakah Mukhriz tidak layak? Tidak. Kalau begitu, mengapakah ada suara menentang? Ah, sudah gerharu cendana pula!

Najib perlu menyediakan minda pemimpin, aktivis dan penyokong parti itu sekiranya beliau memilih untuk bertindak drastik sedemikian. Tiga bulan dari sekarang cukup untuk beliau berbuat begitu.

Sekiranya tidak, Najib mungkin memerlukan lebih banyak masa!

Ekonomi Malaysia Akan Bertambah Kukuh Di Bawah BN!!!



Najib mahu sektor swasta dan kerajaan agar bekerjasama bagi memastikan daya tahan ekonomi Malaysia diperkukuhkan lagi.  Sekiranya kedua-dua sektor ini bekerjasama maka apa sahaja kesan yang bakal diterima dari ekonomi global akan dapat ditampan.  

Swasta dan kerajaan perlu bekerjasama - PM 

KUALA LUMPUR 20 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sektor swasta dan kerajaan perlu bekerjasama bagi memastikan daya tahan ekonomi Malaysia diperkukuhkan lagi bagi menampan apa sahaja kesan yang bakal diterima dari ekonomi global.

Katanya tinjauan ekonomi global yang muram dan kegawatan kewangan yang berlaku di zon euro dijangka memberikan risiko yang serius terhadap ekonomi dunia.

“Kita perlu memastikan ekonomi negara berada pada kedudukan paling kukuh bagi mengharungi kegawatan ekonomi global."

"Kita perlu berusaha bermati-matian bagi mengukuhkan daya saing produk dan perkhidmatan Malaysia dan meraih peluang baharu di pasaran bukan tradisi bagi mengekalkan prestasi eksport," katanya semasa menyampaikan ucaptama semasa Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ke-66 di sini hari ini.

Najib berkata sektor swasta dijangka memainkan peranan yang semakin meningkat di dalam membentuk iklim pelaburan.

“Saya akan mengumumkan satu siri insentif pelaburan dari semasa ke semasa bagi menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik.

Beliau berkata krisis yang berlaku di zon euro dan kemelesetan di dalam ekonomi AS membahayakan keyakinan perniagaan dan pasaran.

“Sebarang bentuk ketidaktentuan atau ketidakstabilan akan mendorong kepada risiko perniagaan yang lebih meluas," katanya. - BERNAMA