Monday, August 2, 2010

UMNO bahagian diarah tubuh pasukan khas daftar pemilih

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kesemua 191 UMNO bahagian telah diarah menubuhkan pasukan khas daftar pemilih bagi memastikan individu yang mencapai umur 21 tahun didaftarkan sebagai pengundi.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan arahan terbaru Datuk Seri Najib Tun Razak yang disampaikan kepadanya sebelum Perdana Menteri berangkat ke luar negara untuk bercuti pada Rabu lalu.

"Penubuhan pasukan khas yang dibentuk di bawah pimpinan ketua bahagian ini berperanan untuk memastikan sesiapa yang dianggap layak, didaftarkan sebagai pemilih.

"Ini sesuatu yang ditekankan oleh Presiden parti dan sebelum berangkat ke luar negara baru-baru ini beliau telah menyebut kepada saya untuk memperingatkan supaya setiap bahagian mempunyai satu pasukan yang khusus," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, penubuhan pasukan khas itu penting kerana walaupun pelbagai inisiatif telah dibuat sebelum ini, jumlah yang berjaya didaftarkan sedikit berbanding dicatatkan oleh pembangkang.

"Saya hendak menimbulkan soal ini kerana walaupun inisiatif untuk mendaftarkan pemilih sudah dilakukan tetapi nampaknya pihak di sebelah sana (pembangkang) lebih cergas daripada kita.

"Mereka tidak berhenti berusaha menambah daftar pemilih dengan jumlahnya meningkat setiap bulan.

"Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menawarkan RM1 bagi seorang pemilih yang didaftarkan dan UMNO menawarkan lebih besar daripada itu. Jadi, saya harap soal pendaftaran pemilih ini akan dapat diberi perhatian yang berterusan sepanjang masa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut menggesa usaha yang sama dilakukan bagi meningkatkan bilangan orang Melayu dan bumiputera yang mendaftar sebagai ahli UMNO.

"Dengan keahlian yang lebih besar, maka lebih mudah untuk kita menjalankan aktiviti-aktiviti bagi membela nasib orang Melayu dan bumiputera di negara kita," ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin turut menggariskan lima langkah penting yang perlu dibuat setiap cawangan, bahagian, badan perhubungan negeri dan UMNO pusat bagi memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap parti itu.

"Ini membabitkan usaha mewujudkan perpaduan di kalangan kepimpinan di semua peringkat dan memastikan pentadbiran dan program yang dilaksana benar-benar berkesan bagi menarik sokongan kumpulan sasaran," katanya.

"Tiga langkah lain adalah mewujudkan kerjasama erat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN), tumpuan bagi menyelesaikan masalah masyarakat setempat dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan serta mengambil langkah segera menangkis tohmahan yang ditimbul parti lawan," katanya.

No comments: