Monday, August 2, 2010

Boon Hock pertikai pemecatan

SHAH ALAM 1 Ogos - Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock mempertikaikan tindakan jawatankuasa disiplin DAP memecat beliau daripada parti itu semalam yang dianggapnya dibuat terlalu awal.

Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk menghukumnya pada peringkat ini memandangkan kerajaan Selangor masih menyiasat tuduhan terhadapnya berhubung dakwaan penyalahgunaan kepala surat seorang anggota Exco kerajaan negeri untuk mendapatkan kontrak bagi keluarga dan kroninya.

"Jawatankuasa disiplin DAP telah bertindak tergesa-gesa dalam membuat keputusan itu yang dibuat terlalu awal. Parti sepatutnya menunggu keputusan siasatan kerajaan negeri berhubung dakwaan itu.

"Masyarakat perlu memahami bahawa dakwaan itu membabitkan majlis tempatan dan siasatan adalah di bawah bidang kuasa jabatan audit negeri. Ia merupakan urusan pentadbiran negeri dan bukan di bawah DAP," katanya.

Dalam surat pemecatan yang dialamatkan kepada Boon Hock, jawatankuasa itu berkata ia telah meneliti dokumen yang diterimanya dan mengesahkan bahawa terdapat asas bagi dakwaan itu.

Selasa lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa seorang ahli majlis perbandaran didakwa menggunakan kepala surat dan cap rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor, Ronnie Liu untuk mengeluarkan surat sokongan kepada kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.

Sungguhpun akhbar itu tidak menyatakan identiti ahli majlis berkenaan, laporan itu menggambarkan ahli majlis itu sebagai veteran DAP berusia lingkungan 50-an, bertanding dua kali bagi kerusi negeri dalam pilihan raya umum lepas dan seorang anggota lembaga tender MPK.

Boon Hock menafikan beliau adalah orang yang dipersoalkan itu tetapi kemudian diarah bercuti oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sementara menunggu siasatan kes berkenaan.

Boon Hock berpendapat ada 'tangan ghaib' di sebalik keputusan untuk memecat beliau.

"Saya percaya ada tangan ghaib dalam pemecatan ini, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan parti akan datang. Ia berkemungkinan orang tertentu yang mahukan saya keluar daripada laluan mereka," katanya, sambil menambah beliau masih belum membuat keputusan sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya.

Sementara itu, sekumpulan penyokong yang mendakwa setia kepada Boon Hock, mengadakan demonstrasi 30 minit di luar pejabat DAP Pandamaran di Klang untuk membantah pemecatan beliau daripada parti.

Mereka turut membawa sepanduk yang menyatakan pemecatan itu sebagai tidak adil. - BERNAMA

No comments: