Monday, August 9, 2010

TPM mahu 1Malaysia difahami

Oleh NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan sebahagian daripada Ketua Penerangan UMNO Bahagian yang menghadiri taklimat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberikan taklimat mengenai konsep 1Malaysia kepada 457 Ketua Penerangan UMNO Bahagian dari seluruh negara bagi memastikan mereka memahami perkara itu dengan sejelas-jelasnya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ketika sesi taklimat isu-isu semasa selama lebih dua jam itu, Timbalan Perdana Menteri turut memberikan penjelasan mengenai Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Selain empat isu utama ini, Timbalan Presiden UMNO juga ada menyentuh beberapa isu lain termasuk perlunya parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sama-sama bekerja bagi menarik sokongan rakyat.

“Selepas sesi taklimat ini, para peserta yang terdiri daripada ketua penerangan empat peringkat termasuk bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri turut berkesempatan berdialog dengan beliau.

“Antara isu yang dibangkitkan adalah mengenai perlunya parti di peringkat pusat dan bahagian menggunakan media bentuk baru, khususnya Internet bagi memberi penjelasan kepada rakyat,'' katanya kepada pemberita selepas selesai majlis taklimat tertutup berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada Selasa lalu, Muhyiddin berkata, langkah untuk memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia memang wajar dilakukan bagi memastikan rakyat memahaminya secara terperinci.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu menjalankan program penerangan secara menyeluruh bagi memperjelaskan konsep 1Malaysia secara terperinci kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi mengelak berlakunya kekeliruan.

Menurut Ahmad, ketika dialog itu, ketua penerangan empat peringkat berkenaan turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan parti untuk mewujudkan hubungan perpaduan dengan Pas.

Pada majlis sama, katanya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyampaikan taklimat selama sejam mengenai rasionalisasi subsidi kerajaan.

“Ini adalah kali pertama pada tahun ini semua ketua penerangan bahagian dikumpulkan dalam satu majlis di peringkat kebangsaan dan ia sebagai susulan kepada program sama yang diadakan di 13 negeri sebelum ini.

“Kita akan mengadakan majlis taklimat di peringkat kebangsaan ini secara lebih kerap setiap empat bulan,” katanya.

No comments: