Monday, July 19, 2010

Pemimpin akar umbi perlu sedia tangkis dakyah pembangkang

KUCHING: Pemimpin akar umbi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menangkis dakyah parti pembangkang semasa berkempen menjelang pilihan raya negeri akan datang.

SUMBANGAN IKHLAS: Daud menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas kepada salah seorang penerima, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

SUMBANGAN IKHLAS: Daud menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas kepada salah seorang penerima, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman berkata taktik berkempen pembangkang yang mungkin membangkitkan isu perkauman harus ditangani sebaiknya bagi mengelakkan perpecahan kaum di negeri ini.

Menurut beliau, strategi pembangkang itu khususnya untuk memburukkan kerajaan BN diyakini mampu menarik pengundi, meskipun ia sememangnya pembohongan kepada rakyat.

“Strategi pembangkang semasa berkempen dalam pilihan raya kali ini mungkin berunsurkan perkauman, di mana mereka hanya mementingkan kuasa tanpa memikirkan kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Maka, pemimpin akar umbi parti komponen BN harus mempersiapkan diri dengan segala maklumat dan pengetahuan agar segala tohmahan pembangkang terhadap kerajaan BN dapat ditangkis dan diperjelaskan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan penutupan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin (Seminar 1Malaysia), di Yayasan Sarawak, Samariang, dekat sini semalam.

Seminar 1Malaysia itu adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Pusat Khidmat Ahli Parlimen Petra Jaya dan PBB Cawangan Tupong.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata taktik berkempen dengan membangkitkan isu perkauman amat berisiko kerana boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Pihak yang membangkitkan isu perkauman ini menunjukkan mereka ketandusan isu dan disebabkan kerakusan politik mereka, yang akan menjadi mangsa ialah masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan BN akan berusaha demi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini dijaga dan dikekalkan.

Seminar 1Malaysia disertai seramai 94 peserta dari sekitar kawasan Parlimen Petra Jaya.

Dalam pada itu, Daud turut menyampaikan sumbangan kerajaan BN berupa keperluan asas seperti beras, minyak masak dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan.A

No comments: