Monday, July 19, 2010

SUPP tampil muka-muka baru selain veteran: Sim

KUCHING:Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menampilkan muka-muka baru, selain veteran dalam pilihan raya akan datang.

Ketika ditanya mengenai calon-calon parti, Setiausaha Agung SUPP Senator Datuk Sim Kheng Hui berkata: “Anda akan melihat beberapa muka baru.”

Beliau berkata, parti itu secara dalaman belum memastikan calon-calon untuk lima konstituensi tetapi tidak mengulas lanjut.

Menurutnya, tarikh tutup bagi penghantaran senarai calon belum dipastikan lagi.

“Belum ada tarikh tutup lagi kerana kami belum menerima apa-apa arahan untuk berbuat demikian (menghantar senarai) daripada Barisan Nasional (BN) Negeri.

“Bagaimanapun, kami sudah mula menjalankan kerja-kerja persediaan pilihan raya,” katanya.

Berhubung kenaikan harga gula dan minyak Jumaat lalu, beliau berkata ia hanya mempunyai kesan kecil terhadap mekanisme pilihan raya.

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah pada 20 Mei 2006 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 24 April 2006 di mana SUPP bertanding di 19 kerusi dan tewas di lapan kerusi.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) menang di enam kerusi milik SUPP, yang terdiri daripada Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Asek dan Kidurong manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula memenangi kerusi Padungan dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) memenangi kerusi Engkilili.

No comments: