Thursday, July 22, 2010

Jawatankuasa khas pantau penularan aktiviti keganasan di IPT

July 22, 2010, Thursday

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuh bagi memantau kegiatan penyebaran fahaman keganasan dan aktiviti merekrut ahlinya di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia berkaitan penubuhan jawatankuasa tersebut yang kini masih dalam peringkat perbincangan.

“Pelajar IPT sudah dewasa dan mampu berfikir dengan sendiri. Namun dalam konteks menangani keganasan di kalangan mereka, kerajaan tidak akan mengambil sikap lepas tangan dan akan melakukan pemantauan untuk membanteras kegiatan ini,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Zaitun Mat.

Zaitun ingin tahu langkah diambil kerajaan bagi memantau 6,000 pelajar Malaysia di Asia Barat daripada terbabit dengan kegiatan Jemaah Islamiah (JI) yang giat merekrut pelajar sebagai ahli.

Saifuddin turut menjelaskan pelajar Malaysia di dalam dan di luar negara masih selamat dan terkawal daripada sebarang aktiviti keganasan.

“Kita juga turut memantau kira-kira 6,000 pelajar kita di Asia Barat dan pihak kita sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri, Kemenerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri bagi menangani masalah ini,” katanya. — Bernama

No comments: