Thursday, September 29, 2011

7 muka baru barisi kabinet

PEMIMPIN BN: Taib (tengah) bersama Jabu (dua kiri) serta (dari kanan) Mawan, Masing dan Soon Koh pada sidang media untuk mengumumkan kabinet negeri yang baru di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Rombakan kabinet saksi pembentukan satu kementerian baru, 5 kementerian tukar nama

KUCHING: Rombakan kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam menyaksikan pengekalan seorang Timbalan Ketua Men-teri, pelantikan tiga menteri kanan dan tujuh menteri muda yang baru.

Kabinet yang dirombak susulan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April lepas mengekalkan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai Timbalan Ketua Menteri berbanding sebelum ini Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Taib dalam sidang media di pejabatnya berkata, adalah memadai untuk mempunyai seorang Timbalan Ketua Menteri dan diperkukuhkan dengan 13 kementerian.

Beliau menyifatkan struktur baru kabinet yang berkuat kuasa pada 30 September itu sebagai pendekatan baru kerajaan dalam merapatkan hubungan dengan rakyat.

“Keanggotaan kabinet ini merupakan satu bentuk proses peralihan kuasa menerusi pelantikan beberapa wakil rakyat yang baru dipilih menjadi menteri muda. Tidak banyak perubahan di peringkat menteri penuh,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, Taib berkata, ia ter-serah kepada parti.

“Ramai yang ada dalam fikiran saya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Hadir sama Jabu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani.

Tiga menteri kanan dilantik setiap seorang mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri kecuali daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu Masing daripada PRS, Mawan daripada SPDP dan Soon Koh daripada SUPP.

Masing juga mengekalkan jawatan Menteri Kemajuan Tanah, Mawan sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Soon Koh sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat merangkap Menteri Kewangan Kedua.

Tiga menteri muda baru ialah ADUN Sebuyau Julaihi Narawi sebagai Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Muda Pembangunan Belia dan Menteri Muda Perumahan), ADUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat (Menteri Muda Kebajikan), ADUN Belawai Datu Len Talif Salleh (Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri), ADUN Bengoh Dr Jerip Susil (Menteri Muda Kesihatan Awam), ADUN Belaga Liwan Lagang (Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan), dan ADUN Bekenu Rosey Yunus (Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga).

Kabinet baru itu turut menyaksikan penubuhan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga yang diketuai Datuk Fatimah Abdullah yang sebelum ini Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Manakala Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi diberi nama baru iaitu Kementerian Pembangunan Sosial yang diketuai Mawan.

Turut diberi nama baru ialah Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam yang digantikan dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat, diketuai Soon Koh.

Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber dinamakan semula sebagai Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar diketuai Taib sendiri, Menteri Perumahan yang diketuai Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg adalah bagi menggantikan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Kementerian Pelancongan juga diketuai Abang Johari, menggantikan Kementerian Pelancongan dan Warisan.

Rombakan dilakukan berikutan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 yang menyaksikan BN memperoleh mandat untuk memerintah semula.

Keputusan pilihan raya itu turut menyaksikan kekalahan beberapa anggota kabinet yang memerlukan ia dirombak bagi mengisi kekosongan.

Antaranya, Dr Chan yang tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, bekas Menteri Muda Peladang dan Koperasi Datuk Peter Nyarok Entrie di DUN Krian.

Dr Chan merupakan presiden SUPP manakala Nyarok timbalan presiden SPDP.

SUPP turut menyaksikan kekalahan bekas Menteri Muda Industri Makanan Datuk David Teng di DUN Repok manakala bekas Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Perumahan Datuk Dr Soon Choon Teck tidak dicalonkan semula di DUN Dudong.

Bagi PBB pula, bekas Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen tidak berada dalam kabinet selepas pilihan raya tersebut apabila mengundur diri daripada bertanding mempertahankan kerusi DUN Demak Laut.

Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem daripada PBB, yang dahulunya merupakan penasihat di Pejabat Ketua Menteri kini dilantik menjadi Menteri Tugas-tugas Khas.

Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng juga tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Pelagus kerana beliau bukan ahli PRS.

Bagaimanapun, Larry kini memegang jawatan penasihat Hal Ehwal Belia di Pejabat Ketua Menteri.

No comments: