Wednesday, August 10, 2011

Tender bina Hospital Sri Aman yang baru akan dikeluarkan pada Bulan September ini - Uggah


Caption: SERIUS...Uggah (tengah) ketika sedang mendengar perjelasan menerusi tayangan slaid daripada Hayati (kiri sekali) sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Jonathan, Harden dan Zulkifli pada mesyuarat terbabit.


SRI AMAN, Isnin (8 Ogos) – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengeluarkan tender bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru pada bulan September ini demikian menurut Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas.

Tender terbabit kata beliau akan dikeluarkan apabila penilaian pengurusan dan kerja penyiasatan tanah oleh Geoteknikal Dan Siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah selesai dilakukan pada bulan Jun lepas.

“Hospital Bahagian Sri Aman yang baru akan dibina di atas tanah berkeluasan 51 ekar di Lot 2827, Undop Land, Sri Aman dengan kos ambil balik tanah yang bernilai RM7.13 juta.

“Hospital bernilai RM200 juta yang akan dilaksana menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 itu nanti akan mengambil masa pembinaan selama 24 bulan sebaik sahaja proses tender selesai dilakukan. Ia dijangka bakal bermula awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Hospital Bahagian Sri Aman yang baru ini nanti akan dilengkapi dengan kepakaran asas, alatan perubatan terkini, 108 buah katil pesakit, dua bilik bedah, enam bilik persalinan dan 20 buah unit mesin kemudahan Hemodialisis.

Uggah berkata demikian ketika berlangsung sidang media di bilik mesyuarat Hopsital Bahagian Sri Aman sebaik sahaja selesai melakukan lawatan ke tapak pembinaan baru hospital terbabit hari ini.

Selain itu Hospital Bahagian Sri Aman juga mempunyai dua orang doktor pakar pertama yang telah memulakan tugas mereka berkuatkuasa hari ini iaitu Dr Ling Hii Ming (Pakar Perubatan) dan Dr Marlini Mat Naphis (Pakar Sakit Puan).

“Justeru saya berharap agar masalah kekurangan doktor pakar dan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru tidak menjadi isu dikalangan penduduk selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Zulkifli Jantan, Residen Sri Aman, Jonathan Lugoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hayati Jaafar, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Uggah telah dipertanggungjawabkan untuk memantau segala projek pembangunan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika berlangsung kempen pilihan raya negeri di Sarawak pada April lepas.

Tamat.

No comments: