Wednesday, June 22, 2011

RM1.18 bilion laksana 62 projek di Sarawak sehingga April

KUALA LUMPUR 21 Jun - Sebanyak 62 program atau projek dengan nilai RM1.18 bilion telah diumum untuk dilaksana di Sarawak sehingga 30 April lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 52 projek dilaksana tahun ini manakala selebihnya akan dilakukan tahun berikutnya.

"Program atau projek yang diumumkan merupakan sesuatu yang telah dirancang lebih awal," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) ingin tahu nama projek dan nilai projek pembangunan yang telah diumumkan oleh setiap kementerian dalam dua bulan sebelum dan semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas dan jumlah projek yang akan dilaksana tahun ini.

Najib berkata, daripada sembilan kementerian yang diberikan peruntukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperoleh dana tertinggi iaitu RM535.26 juta, diikuti Kementerian Kesihatan (RM212.53 juta), Kementerian Kerja Raya (RM200 juta), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (RM70 juta), Kementerian Pelajaran (RM65.64 juta), Kementerian Pertahanan (RM48 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM20 juta), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM4.5 juta) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (RM2 juta).

Perdana Menteri berkata, nilai keseluruhan itu juga termasuk dana RM22.75 juta menerusi peruntukan khas Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Najib berkata, projek bekalan air, projek bina, naik taraf jalan dan lorong serta pembinaan jeti dan jambatan diberikan peruntukan besar berjumlah RM852.66 juta, manakala RM278.17 juta adalah untuk membina serta menaik taraf klinik dan hospital.

"Peruntukan selebihnya adalah untuk sumbangan dan bantuan, rumah ibadat bukan Islam serta lain-lain," katanya. - BERNAMA

No comments: