Wednesday, June 22, 2011

Fahami pola politik orang muda

Oleh BUDIMAN MOHD. ZOHDI

Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia merupakan 43 peratus daripada jumlah rakyat di Malaysia.Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 belia yang berusia 21 tahun ke atas telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).Manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.Ini menjadi golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.Imam al-Ghazali pernah menyatakan: "Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang".Secara tidak langsung kelompok belia bukan sahaja boleh menjadi rakan pembangunan negara tetapi juga sebaliknya.Orang muda tentunya membawa pola dan tingkahlaku politik yang berbeza. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu saluran orang muda dikatakan penyebab tsunami politik di lima negeri.Walaupun trend tersebut dikatakan berubah dalam siri-siri pilihan raya kecil kebelakangan ini namun dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, tingkahlaku politik orang muda berbeza mengikut geopolitik kawasan.Terdapat dua aspek utama yang membentuk pola politik pengundi muda. Pertama tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial.Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun sebelum mereka mengundi.Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.Sehubungan itu pendidikan telah mengasah ketajaman daya fikir mereka. Kebanjiran maklumat menerusi Internet dan televisyen menyebabkan mereka mudah membuat perbandingan apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan golongan muda.Keterbukaan dan pendedahan kepada maklumat sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda.Pengaruh media sosial seperti blog, Facebook dan twitter juga telah mempengaruhi persepsi golongan muda.Media sosial biar pun tidak bersemuka namun atas sifatnya yang segera, kos murah, tanpa tapisan dan kepayahan pendakwaan undang-undang menyebabkan maklumat masuk ke gajet elektronik bertali arus dan akhirnya berupaya membina pengaruh.Siapa yang lebih kerap menghantar maklumat akan lebih berpeluang untuk mempengaruhi golongan ini.Sesuatu perkara jika diasak berkali-kali akan diyakini benar.Realitinya apakah keperluan kehidupan anak muda? Jika diamati isu golongan ini berkait rapat dengan '4P' - Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan.Bermula dengan pendidikan mereka akan mencari inisiatif melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum. Selepas memiliki pendidikan yang sempurna terfikir pula mengenai peluang pekerjaan untuk mereka.Dengan memiliki pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan memiliki status sosial.Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita daripada RM21,000 kepada RM45,000 tentunya perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan.Atas alasan itu, apa jua dasar, polisi dan pelan pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan mestilah dirasai oleh anak muda dari Perlis sampailah ke Sabah.Ini kerana pandangan anak muda tentang politik adalah lebih terbuka. Ia diadun antara politik keperluan dan idealisme.Pada mereka isu '4P' yang berkaitan dengan kelangsungan hidup perlu diambil berat oleh pihak kerajaan.Mereka juga mahu urus tadbir negara dilakukan dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.Sebab itu, dasar semata-mata tidak menjamin sokongan mereka kepada kerajaan.Untuk meneruskan kelangsungan hidup, ia tidak cukup dengan sekadar inisiatif.Apa yang lebih penting adalah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar.Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan mengurus isu berkaitan anak muda melalui pelbagai dasar, polisi dan inisiatif.Bagaimanapun, yang paling penting anak-anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri.- UTUSAN

No comments: