Tuesday, March 22, 2011

SPR umum tarikh esok


Tarikah penamaan calon dan pembuangan undi diumum pada Rabu selepas mesyuarat: Takun

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10 esok, sejurus selepas mesyuarat suruhanjaya itu diadakan.

Pengarah SPR Sarawak, Datu Takun Sunggah berkata suruhanjaya itu akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya negeri itu kelak.

“SPR akan bermesyuarat pada Rabu untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya negeri Sarawak kesepuluh itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi untuk mendapatkan rancangan SPR berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak kesembilan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Sabtu lalu.

Taib mengumumkan pembubaran itu pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan sehari mereka ke negeri ini pada hari itu.

Hadir sama pada sidang media itu ialah semua presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Taib adalah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Mesyuarat itu kelak hanya akan membincangkan tentang pilihan raya negeri ini dan akan diumumkan pada sidang media yang akan diadakan selepas mesyuarat,” katanya.

Sementara itu SPR katanya akan menggunakan senarai pengundi yang berdaftar sehingga 31 Disember 2010, bagi pilihan raya negeri kali ini.

“Seramai 979,796 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri ke-10 ini. Mereka ini termasuk pemilih yang mendaftar setakat 31 Disember 2010,” katanya lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ini, SPR akan menggunakan ketiga-tiga keperluan alternatif pengangkutan iaitu helikopter, bot laju dan perahu panjang bagi laluan sungai serta kenderaan pacuan empat roda.

Seramai 21,000 petugas SPR akan dikerahkan untuk bertugas di semua kawasan pilihan raya membabitkan 1,740 pusat pengundian.

Kali terkahir negeri ini mengadakan pilihan raya ialah pada 2006 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menguasai semula kerajaan negeri walaupun kalah di sembilan kerusi.

Sarawak memiliki 71 kerusi DUN dengan 35 daripada kerusi itu diperuntukkan kepada PBB manakala SUPP 19 kerusi, PRS, 9 dan SPDP, 8.

No comments: