Tuesday, March 22, 2011

Lihan Jok undur diri


MIRI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, Lihan Jok, malam tadi mengumumkan bahawa beliau mengundurkan diri daripada bertanding pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Pengumuman tersebut sekali gus menjadikan Lihan sebagai penyandang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang kedua mengumumkan pengunduran secara rasmi, selepas Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen pada 16 Mac lalu.

Lihan semasa berucap pada Majlis Makan Malam Jiwa Murni anjuran Nadi Telang Usan dan Pergerakan Wanita PBB Telang Usan memberitahu beliau sudahpun menghantar surat rasmi mengenai pengundurannya itu kepada Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, semalam.

“Tugas mentadbir dan membangunkan kawasan Baram yang sebesar Negeri Pahang, bukan semudah yang disangka.

“Saya sudah cuba dua penggal tetapi apa kan daya, sehingga kini, inilah yang terbaik dan termampu saya lakukan untuk rakyat di Baram khususnya di (konstiteunsi) Telang Usan,” ujar beliau penuh emosi.

“Pengunduran ini juga akan memberi laluan kepada muka baru yang diharap dapat meneruskan pembangunan di Baram. Saya berharap calon baru nanti akan disokong sepenuhnya oleh rakyat di Telang Usan dan yang pasti beliau adalah seorang yang amat kita kenali,” katanya tanpa memberikan bayangan mengenai siapakah calon yang dimaksudkan.

Bagaimanapun menurut Lihan, terpulang kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional untuk menentukan siapakah calon paling layak.

No comments: