Tuesday, March 8, 2011

BN kekalkan kerusi DUN Kerdau, Merlimau

TEMERLOH: Calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dengan majoriti 2,724 undi.

Syed Ibrahim, 44, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 43, mendapat 2,336 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam tadi.

Sebanyak 90 kertas undi ditolak.

Sejumlah 7,486 pengundi atau 83.20 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi berkenaan dimenangi calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim, dengan majoriti 1,615 undi.

Sementara itu di JASIN, BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan memperoleh 5,962 undi manakala Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau Roslan Eusoff di Dewan Platinum Politeknik Merlimau pada kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Turut berada di dewan berkenaan untuk meraikan kemenangan calon BN itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaik keputusan diumumkan, Roslan, 44, yang memakai kemeja belang biru, berseluar hitam dan bersongkok, dijulang oleh para penyokongnya dengan sorakan “Hidup BN”, “1Malaysia”, dan “Merlimau DUN Ku Sayang”.

Proses pengundian berjalan lancar dengan 78.76 peratus daripada 10,679 pengundi berdaftar di DUN Merlimau telah keluar mengundi berbanding 76.18 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Selain menggunakan kenderaan sendiri, pekerja parti turut menyediakan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat-pusat pengundian sejak ianya dibuka jam 8 pagi sehingga ditutup jam 5 petang.

Roslan, anggota jawatankuasa Umno Bahagian Jasin manakala Yuhaizad, 38, adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir memperoleh majoriti 2,154 undi mengalahkan calon PAS Jasme Tompang. — Bernama

No comments: