Tuesday, March 8, 2011

Adenan sesuai berdebat


Pemimpin PBB sokong keputusan Taib beri kepercayaan kepada ketua informasi itu berdebat dengan Baru Bia

FROM LEFT: Daud, Dr. Rundi, Wan Junaidi

KUCHING: Para pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong keputusan presidennya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk memberi kepercayaan kepada Ketua Informasi Parti Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem untuk berdebat dengan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian.

Pemimpin-pemimpin berkenaan berkata ia adalah langkah yang tepat kerana Baru tidak setaraf dengan Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata Baru cuba menggunakan debat itu untuk mempromosikan dirinya di mata rakyat.

“Baru adalah seorang ahli politik baru yang cuba untuk menjadi juara rakyat manakala YAB (Taib) kita telah berada dalam perkhidmatan awam hampir setengah abad, malah sebelum Baru dilahirkan lagi. Justeru bukan taraf YAB untuk berdebat dengan dia (Baru),” katanya ketika dihubungi semalam.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata sehubungan itu beliau menyokong penuh langkah Taib memberi kepercayaan kepada Adenan untuk berdebat dengan Baru.

Sementara itu Setiausaha Agung PBB Dr Stephen Rundi berkata keputusan mempersetujui cabaran untuk berdebat oleh presiden parti dengan jelas menunjukkan bahawa PBB mengamalkan demokrasi.

Beliau berkata walaupun semua orang tahu bahawa debat terbuka disuarakan Baru demi kepentingan politiknya, PBB tidak takut untuk menerima cabaran itu kerana pada akhirnya kebenaran akan terserlah.

“Apa yang dinyatakan oleh YAB dalam ucapannya dalam Konvensyen BN (pada Sabtu), mereka (PKR) mengamalkan politik persepsi manakala kami mengamalkan politik realiti.

“Langkah PKR mengajak BN berdebat hanyalah demi kepentingan politik (mereka).

“Seseorang mungkin akan bertanya, mengapa sekarang? Bagi saya jawapannya hanya satu, iaitu propaganda pilihan raya,” kata Dr Rundi yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, tidak apa debat diadakan tetapi para pendebat mesti mematuhi peraturan.

Beliau berkata biasanya para pendebat mestilah setaraf dari segi status dan kedudukan.

“Pehin Sri (Abdul Taib Mahmud) adalah Ketua Menteri Sarawak, Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB.

“Jadi lawannya harus secara kasarnya sama status. Jadi beliau boleh menugaskan sesiapa sahaja dalam BN untuk berdebat (bergantung kepada status lawan dalam perdebatan),” katanya.

Wan Junaidi berkata walaupun beliau bersetuju dengan Adenan sebagai pilihan Taib, beliau secara peribadi merasakan bahawa tidak perlu bagi ketua informasi itu mewakili presiden dalam debat terbuka.

“Beliau (Adenan) adalah seorang jeneral dalam PBB. Terdapat ramai mejar dan kapten yang sepatutnya memainkan peranan. Lagipun, lawan bukanlah seorang jeneral,” katanya.

Naib Ketua Pemuda PBB Pandi Suhaili yang bersetuju dengan Wan Junaidi berkata ramai ahli Pemuda yang bersedia menyahut cabaran bagi mewakili presiden atau ketua informasi.

Beliau berkata Baru sebenarnya cuba mencari publisiti murahan daripada cabaran debat secara terbuka kerana beliau mahu membuktikan bahawa pemilihannya sebagai ketua PKR Sarawak oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tepat walaupun menerima tentangan daripada para pemimpin parti berkenaan sebelum ini.

“Dia (Baru) tahu bahawa ramai pemimpin dalam partinya tidak percaya dengan keupayaannya memimpin PKR dalam pilihan raya negeri nanti.

“Atas sebab inilah dia mengambil keputusan mencabar YAB untuk mengadakan debat terbuka dengan harapan presiden parti kita tidak akan menerima cabarannya.

“Sekarang, dia mungkin akan mencari alasan untuk tidak mengadakan debat kerana dia sebenarnya hanya mahu mendapatkan publisiti murahan dan bukannya untuk berdebat,” kata Pandi yang juga merupakan ketua Pemuda PBB Jepak

http://www.theborneopost.com/?p=99311

No comments: