Monday, December 27, 2010

Pengharaman logo 1M’sia bukti pembangkang takut: Khairy


LABIS: Tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia dalam iklan dan papan tanda di negeri itu membuktikan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu takut dan sekali gus mengiktiraf gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

SUMBANGAN: Khairy menyampaikan sumbangan beg dan peralatan sekolah kepada anak-anak peneroka pada majlis penyampaian sumbangan beg dan peralatan sekolah sempena program jelajah 1Malaysia pemuda Barisan Nasional Labis di Dewan Semai Bakti Felda Chemplak di Labis, semalam. Turut membantu Ketua Pemuda Umno Bahagian Labis, Mansor Birat (tiga kanan) dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis, Rusdin Mahmud (kanan). — Gambar Bernama

Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata sebagai parti yang sentiasa melaung-laungkan kebebasan bersuara, pembangkang tidak perlu meneruskan keputusan untuk mengharamkan penggunaan logo berkenaan.

“Kenapa perlu diharamkan, saya cabar pembangkang untuk menyatakan pendirian yang sebenar dan konsisten mengenai isu kebebasan bersuara ini. Saya harap pembangkang tidak hipokrit,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan beg dan peralatan sekolah Jelajah One Malaysia di Felda Chemplak, di sini, semalam.

Rabu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu mengumumkan pengharaman itu kerana mendakwa konsep 1Malaysia bermotifkan politik dan sekali gus bertentangan dengan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan yang melarang mempamerkan iklan yang berbaur politik.

Sementara itu, mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Khairy mengingatkan seluruh jentera Pemuda BN supaya tidak terlalu awal menjalankan pelbagai program memandangkan waktu yang masih panjang sebelum tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 22 Jan dan pengundian pada 30 Jan.

“Mengikut jentera yang ada hari ini, saya nampak kita sudah berada dalam satu persediaan yang baik tetapi saya harap kita dapat susun program supaya tidak terlalu laju pada peringkat awal kerana sampai hujung nanti kita hilang tenaga dan tidak cukup stamina,” jelasnya.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata Pemuda BN akan menumpukan usaha memikat 2,500 pengundi muda semua kaum di kawasan DUN Tenang supaya golongan pemuda di kawasan tersebut sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada BN.

Beliau berkata walaupun DUN Tenang dianggap sebagai kubu kuat BN, namun pihaknya akan memberi tumpuan yang lebih bagi meningkatkan majoriti undi terutamanya di tiga peti undi yang kalah pada pilihan raya umum lepas. — Bernama

“Orang muda nampaknya memberi sokongan kepada BN cuma kita tidak mahu mengambil mudah dengan keadaan ini. Strategi Pemuda BN adalah dengan mengadakan program-program kemasyarakatan dan ceramah untuk memperjelaskan pelbagai isu yang dibawa pembangkang bagi mengelirukan rakyat termasuk isu felda, isu 1Malaysia dan lain-lain. Kita tidak mahu pembangkang ada ruang untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Tenang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 22 Jan dan pengundian 30 Jan. — Bernama

No comments: