Monday, December 27, 2010

Jangan terpengaruh ceramah pembangkang


Parti pembangkang hanya pandai bercakap, membuat tuduhan tidak berasas dan menabur janji kosong

BERSAMA PEMIMPIN: Hikmat Norhadi menyampaikan cenderamata kepada Wong sambil diperhatikan oleh Tuai Rumah Juing (empat kiri), Johny (tiga kanan) serta yang lain.

SIBU: Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh berharap rakyat tidak terpengaruh dengan ceramah parti pembangkang yang tidak pernah memenuhi janji-janji mereka.

Beliau berkata, parti pembangkang hanya pandai bercakap, membuat tuduhan tidak berasas dan menabur janji kosong.

“Mereka tidak berdaya untuk membawa pembangunan. Contohnya, sejak Pulau Pinang dan Selangor di bawah kepimpinan parti pembangkang, ekonomi negeri-negeri ini telah jatuh.

“Menurut laporan audit, Kerajaan Selangor telah berhutang sebanyak RM829.86 juta dengan kerajaan pusat.

“Jadi, kita dapat lihat bahawa DAP, PKR dan PAS di bawah Pakatan Rakyat (PR) tidak layak untuk mentadbir negara ini,” ujarnya ketika berucap pada Program 1Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Juing Buntuok, Pasir Mas, malam kelmarin.

Program ini dianjur bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak (JASA), Jabatan Penerangan serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Turut hadir wakil Pegawai JASA Bahagian Sibu/Mukah Hikmat Norhadi Abang Abdul Kadir, pembantu peribadi Wong Johny Weiss Engkamat serta yang lain.

Menurut Wong, kerajaan Barisan Nasional (BN) mewujudkan banyak program melalui Program Transformasi Ekonomi, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan pembangunan wilayah seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi supaya generasi akan datang senang mendapat kerja dan menikmati taraf hidup lebih tinggi.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan berkata, kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang kukuh, adil dan berjasa untuk kebaikan rakyat.

“Di bawah Barisan Nasional, negeri kita dalam keadaan stabil, aman, damai dan berkembang maju. Pelbagai kemudahan asas telah dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup kita semua.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan Ke-10, lebih banyak rancangan pembangunan dan kemudahan termasuk subsidi pertanian diperuntukkan untuk kawasan desa.

“Kampung ini telah dibekalkan dengan air paip. Jadi, saya berharap penduduk di Pasir Mas akan bersabar. Permintaan anda untuk membaiki jalan raya ke kampung dan rumah panjang ini akan dilaksanakan pada tahun depan,” jelasnya.

Wong berkata, kerajaan melalui agensi-agensinya akan terus memberi perkhidmatan yang berkualiti dan cekap untuk memenuhi kehendak penduduk tempatan.

Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada penghuni Rumah Juing dan rumah panjang berhampiran agar terus memberi sokongan padu kepada calon-calon daripada parti komponen BN dalam pilihan raya negeri akan datang supaya kerajaan BN diberi mandat yang kukuh untuk menjamin kestabilan ekonomi negara.

“Hanya dengan ekonomi yang berkembang maju, dapatlah kerajaan membawa lebih banyak pembangunan dan menyediakan kemudahan kepada rakyat kita,” tambah Wong.

No comments: