Wednesday, June 23, 2010

Penduduk Pelagus tidak perlu keliru


PRS akan mencalonkan anak jati Pelagus berketurunan Iban pada pilihan raya negeri

KAPIT: Penduduk di konstituensi Pelagus tidak perlu risau dan keliru tentang calon yang bakal diletakkan untuk bertanding mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

KENANGAN BERSAMA: Mong (tujuh, kanan) merakamkan gambar bersama tuai-tuai rumah dari kawasan Merit selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Berundang.

KENANGAN BERSAMA: Mong (tujuh, kanan) merakamkan gambar bersama tuai-tuai rumah dari kawasan Merit selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Berundang.

Menteri Muda Pertanian dan Pelancongan Sarawak, Mong Dagang yang memberi nasihat itu berkata: “Sudah tentu calon yang bakal bertanding mempertahankan kerusi Pelagus kelak adalah dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan merupakan anak jati Iban kelahiran Pelagus serta berpendidikan tinggi.”

“Penduduk di kawasan Pelagus sememangnya mahukan calon yang berpelajaran tinggi dan berintegriti daripada kalangan kaum Dayak untuk bertanding di kerusi itu,” kata Ketua Pemuda PRS itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersana Rakyat di Rumah Berundang, Nanga Ensawie, Merit Sabtu lepas.

Penduduk di kawasan Pelagus terdiri daripada 85 peratus kaum Iban, jadi wajarlah mereka diwakili oleh kaum itu sendiri dalam pilihan raya negeri akan datang, tambah Mong.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak timbul isu bertukar kerusi dengan parti komponen lain atau meletakkan calon terus BN sepertimana yang diwarawarakan sesetengah pihak.

Katanya, Pelagus sah milik PRS berdasar kepada konsep dan semangat BN selama ini.

Justeru, beliau berharap agar semua ketua kaum dan masyarakat di kawasan Pelagus memberi sokongan yang padu kepada calon yang bakal mewakili PRS pada pilihan raya negeri akan datang.

“Dengan yang demikian maka rakyat akan lebih senang menikamati kesinambung program pembangunan kerajaan untuk faedah mereka sendiri,” tambah beliau.

Mengenai program pembangunan di kawasan Pelagus, Mong memberitahu bahawa kawasan itu menikmati hasil perlaksanaan program Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), terutamanya mereka yang tinggal di kawasan tanah rendah di daerah kecil Merit.

Pada majlis tersebut Mong mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada JKKK Rumah Berundang, Nanga Ensawie, Merit.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wilson Nyabong Ijang, Wali Kota Majlis Daerah Kapit, Philimon Nuing, Pegawai Daerah Kapit, Simon Japut Tiok, pengurus Sarawak Energy Sdn Bhd (Ways leave & Hydro Power), Stanley Nyitar, setiausaha MDK Kapit, David Upe serta 15 tuai rumah dari kawasan Merit

No comments: