Monday, February 16, 2009

Tuanku Mizan ingatkan rakyat hormati Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan.

Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara.

“Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Seri Paduka turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum.

“Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan,” titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan. - Bernama

No comments: