Friday, February 13, 2009

Najib terima anugerah kedua tertinggi Sarawak



Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bersalaman dengan Najib Tun Abdul Razak selepas menganugerahkannya dengan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Patinggi pada majlis sempena sambutan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia di Astana Negeri di Kuching, semalam.

KUCHING 12 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, anugerah kedua tertinggi Sarawak yang membawa gelaran Datuk Patinggi, pada satu majlis pengurniaan bintang kebesaran negeri di Astana Negeri di sini.

Timbalan Perdana Menteri menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis pagi ini.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran yang gemilang itu amat bermakna kerana ia diadakan sempena sambutan 45 tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia.

Pada majlis yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima anugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dan bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik juga diberikan anugerah PNBS.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada upacara itu.

Majlis pengurniaan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Najib ke Kuching dan Miri yang bermula semalam. – BERNAMA

No comments: