Tuesday, October 21, 2008

PM tidak kisah serah 'jelapang' kepada Najib



ceria... Reaksi Abdullah Ahmad Badawi selepas menyerahkan nota serah tugas Menteri Kewangan kepada Najib Tun Abdul Razak di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop .
- Bernama

PUTRAJAYA 20 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak kisah dengan tafsiran sesetengah pihak bahawa beliau telah memberi 'jelapang' kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada timbalannya itu.

Perdana Menteri berkata, tafsiran itu tidak timbul kerana Najib diakui berupaya mengendalikan urusan kewangan negara dengan baik serta mampu menangani krisis ekonomi mendatang.

''Kementerian (Kewangan) ini memang kementerian besar, jadi kerja pun kerja besar, kementerian ini ada duit.

''Ada orang UMNO kata Pak Lah bagi 'jelapang' pada Najib, tapi Pak Lah ambil senapang pula (jawatan Menteri Pertahanan). Saya pegang 'senapang', dia pegang 'jelapang', tak apalah, asalkan semuanya selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menyerahkan nota tugas kepada Najib di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jawatan Menteri Kewangan diserahkan Abdullah kepada Najib pada 17 September lalu sebagai sebahagian daripada proses peralihan kuasa yang dipersetujui.

Berkuat kuasa serta merta juga Abdullah mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib.

Menurut Abdullah, beliau yakin Najib dapat bekerja dengan baik di Kementerian Kewangan serta mendapat manfaat daripada bantuan profesional di kementerian tersebut.

''Beliau akan bersungguh-sungguh bantu saya dan membuat persediaan untuk Bajet, dulu Tan Sri Nor (Mohamed Yakcop) tidur sini (di pejabatnya untuk persediaan pembentangan Bajet).

''Dan anda (Najib) bernasib baik kerana mereka yang berada di kementerian ini sungguh kuat bekerja," katanya.

Abdullah seterusnya yakin Kementerian Kewangan akan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi yang timbul dari semasa ke semasa.

''Dengan kerjasama ini (menerusi komitmen semua warga dan badan dalam Kementerian Kewangan), kejayaan akan diperoleh dan negara akan terus menikmati kejayaan," katanya.

Abdullah mengakhiri ucapannya dengan serangkap pantun pendek: Bunga selasih tidak akan layu Terima kasih, thank you.

No comments: