Friday, October 24, 2008

50,000 kakitangan awam kontrak mungkin diberhentikan

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak mungkin ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan kerajaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman.

Mereka adalah kakitangan yang kontrak disambungkan dari setahun ke setahun, yang berkhidmat di semua jabatan dan kementerian di seluruh negara dan tidak menikmati kemudahan seperti yang diterima kakitangan awam tetap, tetapi melakukan tugas yang sama.

Omar memberitahu Bernama, Cuepacs tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan, kerana kerajaan masih mampu mengekalkan perkhidmatan golongan ini.

Cuepacs, katanya, telah menghantar rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengekalkan kakitangan ini, yang kebanyakannya telah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun malah terdapat yang berkhidmat lebih 20 tahun.

“Cuepacs telah mencadangkan sama ada JPA mengambil semula pekerja ini atau menyerap mereka ke dalam kedudukan tetap,” kata Omar.

Beliau berkata, isu ini akan dibincang pada persidangan perwakilan Cuepacs bulan depan.

– Bernama

No comments: