Tuesday, October 16, 2012

Pemuda PAS Sokong Kenyataan Haron Din



PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini memberikan sokongan penuh terhadap kenyataan Datuk Dr Haron Din bahawa Islam adalah teras utama dalam membangunkan sebuah negara yang berlandaskan tuntutan syiar dan syariat Islam.

Baru-baru ini, bekas ahli Parlimen India, Mubasyar Jawid Akbar ada mengeluarkan buku yang menganggap Islam hanya untuk menjalin persaudaraan dan bukan untuk menubuhkan sebuah negara.

Ketua Pemuda DPPM, Nasrudin Hasan berkata, PAS menolak fahaman sedemikian justeru ia lebih berpaksi kepada doktrin fahaman Islam liberal dan masyarakat umum tahu bahawa PAS adalah sebuah parti yang berpandukan Islam dan Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi semua masalah ummah termasuk menyelesaikan permasaalahan negara.

Haron yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan syumul.
Islam menawarkan apa sahaja yang melengkapkan kehidupan manusia, termasuklah soal pembentukan dan pentadbiran negara.

Sekaligus melambangkan Islam sebagai ad deen yang lengkap dan komprehensif. Persoalan ini adalah jelas kedudukannya di dalam Al-Quran dan Nabi saw juga telah mempraktiskannya.

Tidak bersetuju dengan Mubasyar

“Dengan yang demikian, kami di peringkat DPPM menyokong penuh kenyataan beliau”, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami memang tidak bersetuju dengan Mubasyar mengenai apa yang diceritakan di dalam bukunya yang bertajuk ‘Tinder Box : The Past and The Future of Pakistan’. Lantaran kami yakin bahawa Islam adalah penyelesaian yang terbaik untuk semua aspek.

Menurut Nasrudin lagi, manusia tidak boleh mengasingkan atau menghadkan Islam hanyalah untuk menjalinkan persaudaraan, walhal, untuk membentuk sebuah negara, pentadbiran yang amanah, tidak menerima dan memberi rasuah, tidak tiris serta menjaga kebajikan rakyat juga adalah salah satu asas yang sangat ditekankan perlaksanaannya oleh Islam.

“Kami dari DPPM menegaskan bahawa kami akan terus istiqamah atau konsisten mengambil Islam sebagai wadah utama dan solusi yang terbaik dalam segala perkara yang ingin dilakukan atau dilaksanakan.

“Pada masa yang sama , kami tetap menghormati budaya dan agama lain serta komited mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera dalam masyarakat majmuk di negara ini. Justeru Islam adalah agama rahmat, agama keadilan dan agama yang membawa kemakmuran sejagat jika ianya dilaksanakan dengan baik,” kata Nasrudin lagi.- FMT

No comments: