Thursday, September 8, 2011

Ketua Penerangan setuju Abu Bekir ganti Sulaiman

KUCHING: Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Abdul Aziz Adenan bersetuju ke atas sokongan yang diberikan oleh ramai pihak kepada Dato Sri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib menjadi calon bagi Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Aziz memberitahu beliau turut gembira dengan kejayaan Dato Sri Abu Bekir sebagai ahli perniagaan yang mampu menyumbang kepada rakyat untuk pembangunan di Sarawak dalam kapasiti sebagai wakil rakyat.

“Saya menyokong Abu Bekir menjadi calon di Kota Samarahan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya juga amat bersetuju dengan kenyataan Senator Idris Buang dan Pengerusi Tetap PBB Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar bahawa Abu Bekir layak untuk menjadi Ahli Parlimen menggantikan adiknya Dato Sri Sulaiman.

“Dengan beliau (Bekir) yang mempunyai latar belakang yang kuat dalam perniagaan, saya percaya beliau mampu membawa pembangunan di Kota Samarahan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, beliau yang ditanya sama ada berminat untuk bertanding, beliau berkata tidak pernah sama sekali berminat dengan perkara berkenaan.

“Fokus saya adalah untuk membantu parti terutamanya sayap Pemuda untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

“Sama ada dipilih atau tidak sebagai calon Ahli Parlimen, saya tidak pernah memikirkan perkara itu kerana saya perlu lebih fokus kepada peranan saya sebagai Ketua Penerangan Pemuda dan membantu banyak cawangan PBB di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau juga turut menyangkal kenyataan Ketua Wanita PKR Negeri, Nurhanim Moksen yang disiarkan dalam akhbar baru-baru ini, mendakwa bahawa terdapat ahli Pemuda PBB akan menyertai pembangkang ekoran daripada tidak berpuasa hati dengan Ketua Pemuda Datuk Fadillah Yusof.

“Ia adalah tidak benar sama sekali dan Pemuda PBB setiasa bersatu,” jelas Aziz.

No comments: