Tuesday, August 2, 2011

Abang Abdul Wahap angkat sumpah Datuk Bandar Kuching Utara



Abdul Taib Mahmud menyaksikan upacara serah terima tugas antara Mohd. Atei Abang Medaan (kanan) kepada Abang Abdul Wahap di Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 1 Ogos - Bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Abang Abdul Wahap Abang Julai hari ini mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Kuching Utara ke enam.

Abang Abdul Wahap mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Morshidi Abdul Ghani.

Menurut Abang Abdul Wahap, pelantikan beliau merupakan satu penghormatan yang cukup besar memandangkan bandar raya ini terkenal dengan reputasinya sebagai salah sebuah bandar raya terbaik di negara ini.

"Saya berazam untuk melaksanakan tugas ini sebaik mungkin dan meneruskan kecemerlangan kepimpinan terdahulu," katanya pada majlis memperingati Hari Bandar Raya Kuching Ke-23 dan pelancaran Pesta Kuching 2011 yang diadakan sejurus upacara angkat sumpah berakhir, di sini hari ini.

Abang Abdul Wahap, 60, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 37 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau dalam PDRM ialah sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman serta Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri selama empat tahun bermula 2002.

Datuk Bandar Kuching Utara yang pertama ialah Datuk Dr. Yusoff Hanifah (1988-1994) diikuti Datuk Awang Ehsan Joini (1995-2000), Madehi Kolek (2001-2004), Abdul Hamid Mohd Yusoff (2004-2007) dan yang terakhir Abang Mohd. Atei Abang Medaan (2007-2011).

Kuching yang dinaikkan taraf sebagai bandar raya pada 1 Ogos 1988 dibahagikan pentadbirannya kepada dua iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

No comments: