Tuesday, August 16, 2011

Anwar akhirnya beri keterangan bela diri Isnin depan


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya akan memberi keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin depan, setelah dua kali berjaya menangguhkan perbicaraan peringkat pembelaan sejak 8 Ogos lalu.

Pihak pembelaan dan pasukan pendakwaan mengesahkan bahawa Anwar akan memberi keterangan pada 22 Ogos ini, setelah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal berbuat demikian pada hari ini memandangkan enam saksi masih belum dapat ditemu bual oleh mereka.

Hakim Datuk Mohamd Zabidin Mohd. Diah membenarkan tarikh tersebut ditetapkan untuk Anwar membela diri tanpa mengambil kira sama ada keenam-enam saksi itu telah berjaya ditemu bual atau sebaliknya.

Enam saksi yang masih belum ditemu bual ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; ibu kepada bekas tunang pengadu, Sharehah Md. Salim; jururawat di Hospital Pusrawi, Yazihan Jusoh; dan bekas pengawal peribadi tertuduh, Mohd. Rasid Mohd. Rosdi.

Turut tersenarai ialah dua bekas pembantu rumah pemilik unit kondominium yang didakwa sebagai saksi tempat kejadian, Fitria Dipan dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Suliati. Kedua-duanya dipercayai telah pulang ke negara asal mereka, Indonesia.

Sharehah bagaimanapun ditemu bual pada hari ini selepas prosiding mahkamah berakhir. Musa pula berada di luar negara dan dijangka pulang dalam minggu ini.

Anwar sepatutnya mula memberi keterangan bela diri pada 8 Ogos lalu tetapi ditunda ke hari ini setelah mahkamah membenarkan permohonannya untuk menemu bual saksi-saksi terlebih dahulu.

Terdahulu, peguam Sankara Nair yang mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu mahkamah, pihaknya telah menemu bual 19 saksi yang berpotensi, manakala enam lagi masih belum dapat ditemu bual.

Nair juga memberitahu bahawa pihaknya telah membayangkan senarai saksi-saksi yang akan dipanggil kepada pihak pendakwaan.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan pula menyatakan, pihaknya akan cuba menyediakan keenam-enam saksi terbabit dalam minggu ini dan mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju peringkat pembelaan akan dimulakan pada Isnin depan.

Sebelum prosiding hari ini bermula juga, terdapat kain pemidang 'Selamatkan Malaysia daripada peliwat 2.0' digantung di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini selama beberapa minit sebelum diturunkan.

Kain pemidang itu dipercayai dipasang oleh sekumpulan ahli Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang memakai kemeja-T warna kuning dan turut mengadakan demonstrasi secara aman sambil melaungkan reformasi dan keadilan kepada Saiful.

Sehingga Jumaat lalu, sebanyak 19 saksi daripada sejumlah 25 saksi yang disenaraikan, telah hadir untuk ditemu bual oleh barisan pembelaan yang diketuai oleh peguam Karpal Singh.

Antara mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Polis Melaka, Mohd. Rodwan Mohd. Yusof; doktor di Hospital Pusrawi, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid dan pemilik kondominium terbabit, Hasanuddin Abd. Hamid.

Ketua Pembangkang itu diperintahkan membela diri setelah Hakim Mohamad Zabidin pada 16 Mei lepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan tersebut.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008

No comments: