Thursday, July 14, 2011

MoCS rancang rapat umum 13 Ogos ini

KUCHING: Selepas BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai lepas, kini sebuah pertubuhan yang menggelar mereka sebagai Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS), merancang mengadakan rapat umum di Kuching pada 13 Ogos ini.

Ketuanya, Francis Siah dalam satu kenyataan semalam berkata, para pemimpin MoCS yang bermesyuarat di Kuala Lumpur pada Ahad lepas dan mengambil keputusan untuk menganjurkan perhimpunan bertemakan ‘Berjalan untuk Demokrasi dan Reformasi’.

Pada perhimpunan yang diadakan mulai jam 2 petang hingga 5 petang, MoCS akan mengeluarkan 10 deklarasi pada rapat umum itu.

Semua peserta digalakkan memakai pakaian berwarna merah iaitu warna tema MoCS.

“MoCS akan memohon permit dari polis untuk acara itu. Kita akan memberi jaminan kepada polis bahawa acara itu akan diadakan dalam suasana aman dan kita menerima nasihat dan permintaan daripada mereka.

“Kita akan memberi kerjasama penuh terhadap agensi penguat kuasa undang-undang bagi memastikan insiden tidak diingini berlaku pada hari tersebut,” kata Francis.

Rapat umum itu akan diadakan sama ada di Padang Merdeka, Tebingan Kuching, Taman Budaya atau Taman Muzium.

Sebelum ini, kumpulan tersebut pernah merancang untuk mengadakan perhimpunan bagi meminta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berundur.

“Rapat umum ini merupakan versi yang diubah suai dari protes jalanan dalam usaha memaksa Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan,” katanya.

Bagi menjayakan rapat umum itu, MoCS mempelawa orang ramai, malah pemimpin dan penyokong kerajaan menyertainya dalam usaha menuntut perubahan segera dan mengubah pentadbiran Sarawak.

“Untuk tempoh sekian lama, negeri kita terperangkap dalam rasuah dan ketakutan serta ugutan politik.

“Kita ingin mendidik orang Sarawak bahawa ahli politik yang mereka pilih perlu berkhidmat kepada mereka dan bukan sebaliknya. Rakyat ialah tuan, bukan pemerintah,” kata Francis.

Francis menegaskan ia tidak ada kaitan dengan parti politik tetapi lebih kepada inisiatif individu yang inginkan perubahan ke arah amalan sebenar demokrasi.

MoCS tidak akan meraih sokongan daripada mana-mana kumpulan penganjur perhimpunan haram.

“MoCS turut menggalakkan bagi mereka yang tidak dapat datang ke Kuching dan mereka yang tinggal di bahagian lain di negeri ini dan di luar negeri menganjurkan rapat umum yang sama,” katanya.

No comments: