Saturday, June 25, 2011

Pakar sahkan pelaku dalam video seks menyerupai Anuwar Ibrahim


MENGAKU BERSALAH: Dua daripada Trio Datuk T iaitu Shazryl dan Abdul Rahim dikerumuni orang ramai selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, semalam berhubung tuduhan menayangkan secara terbuka adegan lucah iaitu hubungan seks antara lelaki dan perempuan. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dua pakar dari Amerika Syarikat telah mengesahkan rakaman video seks yang ditayangkan oleh ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari agung PERKASA, Datuk Shuib Lazim adalah tulen dan tidak ada sebarang ‘tampering’ (diubah-ubah) dan ‘superimpose’ (gambar ditindih) dilakukan.

Pakar-pakar daripada Dartmouth College, Hanover, New Hampshire itu, juga mengesahkan bahawa lelaki yang melakukan seks dengan seorang wanita dalam video itu adalah serupa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu terkandung dalam fakta kes yang dibacakan di Mahkamah Majistret di sini semalam setelah Shazryl dan Shuib mengaku bersalah terhadap pertuduhan menayangkan secara terbuka adegan lucah iaitu hubungan seks antara lelaki dan perempuan.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby pula mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan kedua-duanya melakukan perkara yang sama.

Majistret Aizatul Akmal Maharani mengenakan denda RM3,000 terhadap Shazryl, RM1,500 kepada Shuib dan RM1,000 kepada Rahim.

Mengikut fakta kes, pada akhir Februari lepas, Shazryl berjumpa dengan Shuib di Taman Sri Ukay, Ampang, Selangor berkenaan satu peranti storan media (pendrive) yang mengandungi rakaman hubungan seks antara seorang lelaki dipercayai Anwar bersama seorang perempuan warga negara China.

Selepas mereka berbincang dengan Abdul Rahim, tayangan rakaman video berkenaan dibuat di Hotel Carcosa Seri Negara pada 10 pagi 21 Mac, dengan menjemput beberapa wartawan menyaksikannya di bilik Seri Makmur.

Penayangan rakaman video itu menggunakan sebuah LCD kepunyaan Shazryl dibuat, dan Shazryl menerangkan bahawa gambar beliau turut terakam sebelum rakaman hubungan seks berkenaan.

Tayangan yang berakhir pada 12 tengah hari itu disaksikan 13 wartawan. Pada satu sidang akhbar pada 4 petang 23 Mac, Shazryl dan Abdul Rahim mengaku bahawa selain mereka, Shuib turut bertanggungjawab membuat perkara yang sama (menayangkan rakaman video kepada wartawan).

Keesokannya, Shazryl dan Abdul Rahim menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan menyerahkan peranti yang mengandungi rakaman itu manakala Shuib menyerah diri pada 25 Mac. — Bernama

No comments: