Wednesday, January 19, 2011

Zaid lancar KITA untuk bawa perubahan politik

KUALA LUMPUR, 19 Jan. - Datuk Zaid Ibrahim, yang sebelum ini meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini melancarkan parti baru iaitu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) bagi membawa perubahan dalam cara berpolitik dan nilai politik di Malaysia.

Sambil menegaskan ia bukan bertujuan mengambil alih pentadbiran Putrajaya, Zaid berkata, beliau sedar anjakan perubahan yang dihasratkan akan mengambil masa lama untuk membuahkan hasil.

"Kami adalah parti bebas bukan di bawah naungan Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Pembangkang di bawah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).

"Apa salahnya kami mempunyai pandangan sendiri, dasar yang mana baik kita sokong (sama ada datang dari pembangkang atau BN),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran parti berkenaan di sini hari ini.

Zaid, bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan juga percaya parti berkenaan akan bertahan lama dan kekal kerana ia bukan berdasarkan rasa marah seseorang personaliti atau dendam, tetapi disokong berasaskan dasarnya. - Bernama

No comments: