Sunday, January 9, 2011

Najib puas hati prestasi khidmat Ahli Parlimen BN


NAJIB diiringi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh (kiri) dan Tengku Adnan ketika hadir untuk program permukiman di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
NAJIB diiringi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh (kiri) dan Tengku Adnan ketika hadir untuk program permukiman di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
Program permukiman antara proses transformasi politik parti

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak pada umumnya berpuas hati dengan prestasi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selepas pertemuan eksklusif dan tertutup program permukiman semalam yang menjadi sebahagian agenda dalam proses transformasi politik untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.

Perdana Menteri berkata, pertemuan berkenaan yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, adalah kaedah untuk beliau mengetahui permasalahan di setiap kawasan Parlimen terbabit bagi memastikan wakil rakyat BN dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat dan juga pengundi.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, Ahli Parlimen memerlukan sokongan Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri untuk membolehkan mereka membawa masalah dan rintihan rakyat kepada pengetahuan pucuk pimpinan parti serta kerajaan.
“Di mana kita boleh bantu menyelesaikannya, bererti mereka akan menjadi Ahli Parlimen yang lebih berkesan di mata hati rakyat. Itulah tujuannya dan Alhamdulillah, program ini berjalan dengan begitu baik sekali, malah saya mendapati ia amat berguna untuk saya mendapat perspektif tepat mengenai kedudukan di setiap kawasan Parlimen diwakili BN.

“Saya pada umumnya berpuas hati (terhadap prestasi Ahli Parlimen BN hasil input dan maklum balas diperoleh pada program pemukiman) tetapi masih ada ruang untuk mereka meningkatkan peranan.

“Sebahagian daripada usaha untuk mempertingkat kemampuan mereka ialah jika kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat.

Ini berikutan sebahagian daripada masalah itu di luar kemampuan mereka untuk selesaikan kerana ia memerlukan kelulusan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas program permukiman lebih lapan jam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Ditanya sama ada input dan maklum balas diperoleh daripada setiap Ahli Parlimen terbabit diambil kira sebagai ukuran bagi petunjuk prestasi utama (KPI), katanya, beliau tidak menetapkan secara khusus dari segi KPI.

“Tetapi kita ada cara dan kaedah untuk mengukur prestasi setiap Ahli Parlimen dan ini dijadikan sebagai asas untuk kita membuat pertimbangan apabila sampai pada masanya,” katanya.

No comments: