Tuesday, December 28, 2010

BN wajar dikekalkan sebagai parti pemerintah


by Saibi Gi. Posted on December 28, 2010, Tuesday

Sebagai kerajaan prihatin BN sentiasa berusaha membantu rakyat berpendapatan rendah, kata Talib

BANTUAN MAKANAN: Talib menyampaikan bantuan makanan kepada seorang penerima. Turut kelihatan, Najib (tiga kiri).

BINTULU: Keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kebajikan rakyat merupakan faktor mengapa ia wajar dikekalkan sebagai parti pemerintah menerusi pilihan raya negeri akan datang.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata, kerajaan yang prihatin berusaha membantu rakyat daripada golongan berpendapatan rendah agar keluar daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, kerajaan memberi bantuan kepada rakyat juga tidak dibezakan mengikut kaum dan agama.

“Kerajaan yang prihatin bermakna kerajaan yang baik. Jangan lupa jasa kerajaan apabila mengundi.

“Memang saya berucap seperti orang berkempen sebab pilihan raya (negeri) akan diadakan bila-bila masa,” katanya pada majlis penyampaian bantuan makanan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di sini, semalam.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata, BN juga terbukti menunaikan tanggungjawab diamanahkan rakyat apabila berlaku pembangunan pesat pada masa ini.

Katanya, pembangunan pesat membuktikan BN mentadbir negara dengan cemerlang.

“Sumber-sumber asli ditadbir dengan baik. Sebanyak mana pun sumber asli di sesebuah negara, ia tidak akan memajukan ekonomi jika tidak diurus dengan betul,” katanya.

Beliau meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pujukan Pakatan Rakyat yang bercita-cita ingin mengambil alih pemerintahan daripada BN.

“PKR pandai cakap sahaja, sedangkan BN ada bukti mampu melaksanakan pembangunan. Anda pastinya tahu siapa yang perlu dipilih berdasarkan perbandingan ini.

“Ketika berkempen mereka janji macam-macam. Tapi lepas pilihan raya tidak ada apa-apa yang dilakukan demi rakyat,” katanya.

Sementara itu, pada majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Bintulu itu, Talib menyampaikan bantuan makanan berkhasiat kepada 208 orang penerima.

Beliau turut menyampaikan bantuan pakaian segaram sekolah. Seramai 65 murid daripada enam sekolah di Bintulu menerima bantuan.

Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bintulu Awangku Mohd Najib Awang Muhammad.

No comments: