Thursday, November 18, 2010

Najib: Suara sumbang Anwar

Oleh ZULKIFLI JALIL dan THOMAS CHONG pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor ketika sidang video bersama masyarakat dan penuntut Malaysia dari enam buah negara sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 17 Nov. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan Malaysia sebuah negara Islam moden merupakan suara sumbang yang tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata-kata kejian daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanyalah suara minoriti yang bercanggah sama sekali dengan pengiktirafan para pemimpin dunia terhadap kejayaan Malaysia.

''Ia satu suara sumbang sebenarnya dan tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia dan pandangan terhadap Malaysia, itu yang saya dapat simpulkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi perbualan video dengan perwakilan pelajar Malaysia di luar negara di kediaman Seri Perdana di sini pagi ini.

Perdana Menteri mengulas dakwaan Ketua Pembangkang itu bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia, Julia Gillard supaya memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.

Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia kelmarin dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.

"Mereka (kerajaan Gillard) tidak boleh hanya pergi ke Malaysia dan berkata, 'ini adalah negara Islam moden yang bagus'. Saya menganggap ia sebagai penghinaan," katanya seperti dipetik daripada laman berita The Australian hari ini.

Penghinaan yang disifatkan oleh Anwar itu dipercayai merujuk kepada pengiktirafan Gillard terhadap kemajuan negara semasa melakukan sesi lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia.

No comments: