Friday, November 5, 2010

Klinik 5SS akan ganti Klinik Kesihatan Kesindu, Sri Aman


KUCHING: Kerajaan bercadang membina sebuah klinik jenis 5SS dengan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM 7juta untuk Klinik Kesihatan Kesindu, di Sri Aman.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Stephen Rundi Utom berkata pembinaan klinik ini berada dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan mampu menyediakan perkhidmatan kepada penduduk yang berjumlah 3,000 hingga 5,000 orang.

“Tetapi apa yang menjadi masalah ketika ini ialah belum ada tapak yang sesuai untuk men-dirikan klinik ini,” katanya

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Snowdan Donald Lawan (BN-Balai Ringin) mengenai perkembangan terbaru rancangan membina klinik kesihatan yang baru bagi menggantikan klinik kesihatan Kesindu yang lama dan telah uzur, serta tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Tambahnya lagi, rancangan pembinaan klinik kesihatan Pantu, Sri Aman turut sudah diluluskan di bawah RMK-9, tetapi tapak yang sedia ada tidak mencukupi untuk membina klinik jenis 5SS seperti yang sudah dirancang.

“Disebabkan masalah ini, projek ini telah dimasukkan ke dalam projek sambungan di bawah RMK-10,” katanya.

Ketika menjawab pertanyaan daripada Malcom Mussen Lamoh (BN-Batang Ai) mengenai pembinaan pusat kesihatan yang baru di Lubok Antu beliau berkata tidak ada sebarang rancangan untuk membina hospital baru di sana.

“Kementerian Kesihatan tidak mempunyai rancangan untuk membina hospital di Lubok Antu, tetapi merancang untuk meningkatkan klinik yang sedia ada di bawah Rancangan Tahap Pertama dalam RMK-10,” katanya.

Rundi berkata RM180,000 telah digunakan untuk menaik taraf klinik kesihatan di Batang Ai dalam Pakej Ransangan Ekonomi 2010. Antara yang dilakukan ialah dengan menaik taraf tempat menunggu, bilik kecemasan, bilik mesyuarat dan lain-lain.

Dalam pada itu, katanya Kementerian Kesihatan Sarawak juga merancang untuk membina dua buah klinik baru di Batu Kawa dan Petra Jaya, bagi meningkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk di Kuching.

No comments: